Rakaman CCTV memaparkan kejadian ragut seorang wanita berusia 20-an di tepi Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 17 Oktober lalu. Foto Ihsan Polis
Rakaman CCTV memaparkan kejadian ragut seorang wanita berusia 20-an di tepi Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 17 Oktober lalu. Foto Ihsan Polis
Rosliza Mohamed


DUA lelaki ditangkap polis secara berasingan antara jam 4 pagi hingga 4.45 pagi ini susulan kejadian ragut seorang wanita berusia 20-an di tepi Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 17 Oktober lalu.

Kedua-duanya yang berusia 23 dan 26 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerusi Op Rentap.

Polis turut merampas motosikal jenis Modenas digunakan dan pakaian dipakai mereka ketika melakukan kegiatan ragut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek pertama berusia 26 tahun ditahan di rumahnya di Jalan Atas Paloh, Kota Bharu pada 4 pagi.

"Dalam serbuan di rumahnya itu, kita merampas baju-T berwarna hitam bersama seluar pendek dan satu topi dipakai ketika meragut.

"Ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif Methamphetamine selain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan curi kenderaan.

"Berpandukan penahanannya, anggota melakukan serbuan kedua di Kampung Kijang, Badang dan menahan rakan suspek berusia 23 tahun pada 4.45 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismail berkata, suspek didapati positif dadah jenis sama dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkait jenayah dan dadah.

Katanya, anggota turut merampas baju T, seluar pendek, topi serta motosikal jenis Modenas yang digunakan mereka dalam serbuan itu.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, insiden ragut membabitkan seorang mangsa wanita pada 17 Oktober lalu tular di laman sosial apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tersebar dan menunjukkan dengan pergerakan suspek.

Rakaman CCTV dipercayai daripada premis berdekatan itu juga sempat merakam wajah suspek secara jelas, sekali gus membawa kepada penahanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 4:53 PM