ARJA
ARJA
Nor Akmar Samudin


Ramai mula bertanya bilakah Arja Lee, 32, akan menamatkan zaman bujangnya. Dengan kerjaya seni yang semakin mantap dan usia kian meningkat, barangkali penyanyi dan pelakon itu tiada alasan lagi untuk terus menyendiri.

Pernah dikaitkan menjalinkan hubungan istimewa dengan pelakon Shima Anuar, Arja terus ghairah mencipta nama dan tidak kedengaran lagi rapat dengan mana-mana wanita.

Bukan tidak 'terasa' di hatinya apabila ramai menunggunya naik pelamin namun dia belum bertemu calon sesuai.

"Saya tidaklah terlalu memilih tetapi belum ada yang berkenan dan saya pun tidak terdesak mencari pasangan. Bagi saya, sekali berkahwin biarlah berkekalan hingga akhir hayat.

"Jadi biarlah jodoh datang sendiri dan apa yang penting wanita itu mestilah dapat menerima saya seadanya. Dia juga kena menerima adik-beradik saya kerana sejak ibu meninggal dunia, merekalah tempat saya bermanja dan menumpang kasih.

"Kakak saya, Linda (Linda Ramli) sering menemani kerana saya tiada pengurus. Kak Linda dan adik-beradik saya menguruskan perniagaan biskut yang dibuat sepanjang tahun, bukan pada musim perayaan saja. Tanpa mereka pincanglah hidup saya. Sebelum ini saya ada pengurus tetapi tidak boleh dipercayai dan sekarang masih mencari pengganti. Saya tak mahu terkena lagi, jadi perlulah berhati-hati," katanya.

Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, yang baru sahaja tampil dengan single kedua berjudul Bintang Malam menyifatkan penyertaannya dalam program Gempak Superstar sebagai penanda aras yang membuktikan dia boleh menyanyi.

"Program ini beri impak besar kepada karier saya dan membuktikan saya boleh membawakan pelbagai genre lagu termasuk dangdut.

"Daripada minggu pertama sehingga final, saya bekerja dengan mereka yang terbaik dalam industri.

"Meskipun saya hanya dapat tempat ketiga, di mata juri profesional saya adalah yang terbaik namun terpaksa akur dengan undian peminat. Ia tidak menjadi isu kerana apa yang penting sya berpuas hati dengan persembahan saya dan komen juri," katanya.

Arja yang komited dengan kerjayanya sedang mencari penaja untuk mengadakan showcase khusus buat peminatnya.

"Lokasi belum tahu lagi sama ada di Kuala Lumpur atau pun di luar, bergantung kepada penaja. Saya pernah mengadakan persembahan di Cherating, Pahang dalam suasana yang santai dengan peminat. Merekalah yang menyokong kerjaya saya selama ini dan pastinya saya memberikan layanan eksklusif kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2016 @ 5:03 AM