ARJA sifatkan artis itu tidak matang kerana cetus jurang antara mereka.
ARJA sifatkan artis itu tidak matang kerana cetus jurang antara mereka.

Pembabitan pelakon dan penyanyi, Arja Lee dalam program Gempak Superstar yang bersiaran di saluran Astro Ria mengundang rasa kurang senang peserta lain.

Arja, 32, mengakui terkejut dengan perkara itu sedangkan dia dan artis berkenaan tidak pernah rapat dan bekerjasama.

“Bagi saya perkara sebegini tidak patut berlaku. Sepanjang bergelar artis saya tidak pernah rapat apatah lagi bekerjasama dengannya.

“Namun, saya perasan dia cuba menimbulkan masalah. Malah, sejak pengumuman sidang media lagi saya dapat tahu perkara ini. Mungkin dia menanti reaksi daripada saya, tetapi saya diamkan saja,” katanya.

Jelas Arja, pembabitannya dalam program itu bukan mahu mencipta populariti sebaliknya mengetengahkan bakat nyanyian dimiliki selepas tiga kali gagal meloloskan diri dalam program realiti.

Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Anu Dalam Botol ini berkata, dia juga bukan saingan kepada mana-mana peserta kerana masing-masing memiliki kelebihan tersendiri.

“Saya sentiasa sedar diri. Kalau betul dia mencemburui saya disebabkan pengalaman yang sedikit sebagai penyanyi, tidak guna juga. Bukan apa, program ini memberi kuasa kepada peminat untuk mengundi.

“Jadi, terang-terangan dari segi populariti dia sudah menang. Dia tidak perlu rasa takut atau tercabar pun. Sebab itu, setiap minggu saya berusaha memberikan persembahan terbaik bagi memenangi hati juri dan penonton,” katanya.

Arja menyifatkan artis itu tidak matang kerana sengaja mencetuskan jurang antara mereka.

“Masing-masing sudah matang, jadi tidak perlu wujud permusuhan walaupun sedang bertanding. Ini kerana di luar nanti pasti berjumpa dan bekerjasama.

“Buang perasaan hasad dengki dan tidak puas hati itu. Tidak perlu nak menyindir saya dengan perkataan yang boleh mengundang persepsi negatif pihak lain terhadap saya.

“Salah satu tujuan saya menyertai program ini adalah untuk belajar dan menuntut ilmu daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang muzik. Bukan nak cari musuh,” katanya.

Sambung Arja, selama ini dia hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu me­ngeruhkan lagi suasana. Biarpun sakit mata dan telinga mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut artis itu, dia bertahan, jauh sekali mengadu dengan sesiapa.

Atur strategi

Pada minggu petama, Arja berada di kedudukan tidak selamat dan prestasinya kian meningkat pada minggu kedua. Mengejutkan apabila dia berada di kedudukan teratas minggu lalu.

“Orang tahu saya pernah menyanyi serta memiliki single. Namun apabila memasuki pertandingan realiti, populariti lebih menjadi perhatian. Saya akui jauh ketinggalan kalau populariti jadi ukuran.

“Justeru, setiap minggu sebelum persembahan saya mesti berada di kedudukan tercorot. Mungkin saya jarang melobi diri bagi meraih undi peminat. Saya sekadar mempertaruhkan bakat,” katanya.

Arja yakin komen positif juri membuka mata penonton program itu untuk mengundinya.

“Apabila tahu berada di tempat pertama, ia umpama magis. Peminat saya tidak seramai peserta lain.

“Apa saya lakukan setiap minggu adalah mempertaruhkan bakat yang ada. Sudah memadai jika persembahan saya mendapat maklum balas positif juri,” katanya. - Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:00 AM