ARJA bersama sebahagian peminatnya.
ARJA bersama sebahagian peminatnya.
KEK cawan yang ditaja tertera wajah Arja.
KEK cawan yang ditaja tertera wajah Arja.
Oleh Nor Akmar Samudin

Sempena pelancaran kelab peminat Arjarioz yang diadakan Sabtu lalu menandakan pelakon dan penyanyi, Arja Lee semakin agresif merangka gerak kerja seninya agar dia selalu berada di sisi peminat.

Merekalah yang sedikit sebanyak menyumbang kepada kejayaannya hari ini. Tiada sedetik waktu pun Arja berdiam diri, malah semakin deras memajukan kerjaya seninya agar terus berada di puncak.

Sebagai permulaan Arja meraikan hampir 100 ahli kelab pada hari pelancaran itu dan daripada pertemuan itu mereka merapatkan lagi hubungan yang sedia terjalin dan bersama-sama merancang aktiviti Arjarioz bagi tahun 2015.

"Arjarioz dikendalikan ahli keluarga saya sendiri terutamanya kakak saya, Linda Ramli dan sahabat baik, Mel Mohsen. Selebihnya untuk memantapkan lagi kelab peminat ini, saya memilih dalam kalangan mereka yang betul-betul setia dengan saya sebagai 'admin'," katanya.

Pada hari itu juga, Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli memilih 15 pemenang terbaik yang menghantar sebab kenapa mereka perlu 'berjanji temu' dengan Arja yang dimuatkan dalam Instagram pelakon itu.

"Ia satu lagi cara untuk saya bertentang mata dengan peminat dalam suasana yang lebih mesra," katanya.

Arja juga tidak menyangka majlis pelancarannya itu mendapat banyak tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Arja's Cookies dan Talent Lounge, Damansara Perdana. Situasi itu menyedarkan Arja betapa dia perlu menjaga reputasi diri kerana setiap penajaan itu datang bersama kepercayaan kepadanya.

"Penaja bukan setakat memandang kepada populariti artis, tetapi karisma, dedikasi dan nama baik. Saya kini sedang berusaha untuk melangkah setapak lagi bagi menempatkan nama sebagai duta produk. Saya bersedia menjalin usaha sama dengan mana-mana syarikat," katanya.

Selama tiga jam majlis itu berlangsung, Arja juga mengadakan persembahan unplugged khusus untuk menghiburkan ahli kelab.

Semalam, Arja memulakan pembikinan klip video single pertamanya, Cerita Pada Mereka dengan memilih Hotel Istana Kuala Lumpur dan kediaman Profesor Sulaiman Abd Ghani di Shah Alam sebagai lokasi penggambaran yang diarahkan Alan Mazaruddin.

Pada pertemuannya itu juga, tanpa berselindung Arja menyuarakan hasrat hati untuk muncul dalam slot Akasia TV3 yang sememangnya menjadi idaman kebanyakan pelakon tanah air kerana ia antara slot yang mendapat rating tertinggi.

"Saya pernah muncul dalam slot Akasia menerusi drama Arianna Rose memegang watak pelakon pembantu setahun lalu. Selepas itu belum ada lagi tawaran untuk saya kembali mewarnai slot yang sentiasa menjadi tumpuan penonton stesen TV itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:11 AM