KEADAAN van yang terbalik dalam kemalangan di Jalan Datai, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN van yang terbalik dalam kemalangan di Jalan Datai, Langkawi, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Enam pekerja sebuah hotel cedera ringan selepas van dinaiki terbalik akibat hilang kawalan di Jalan Datai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi, van dipandu lelaki berusia 36 tahun dan membawa lima penumpang itu dalam perjalanan ke hotel The Datai Langkawi.

Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku ketika van yang datang dari arah Pantai Kok ke Teluk Datai dipercayai tergelincir ke bahu jalan.

"Terkejut dengan kejadian, pemandu van cuba kembali ke arah jalan menyebabkan kenderaan itu sekali lagi hilang kawalan sebelum terbalik di tengah jalan.

"Kejadian itu menyebabkan penumpang dan pemandu van terbabit cedera ringan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Langkawi dengan tiga daripadanya diberi rawatan sebagai pesakit luar, manakala baki tiga lagi masih menerima rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 2:42 PM