Keadaan Perodua Bezza terbalik selepas merempuh belakang lori manakala pemandunya maut. FOTO ihsan PDRM
Keadaan Perodua Bezza terbalik selepas merempuh belakang lori manakala pemandunya maut. FOTO ihsan PDRM
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Pemandu kereta maut apabila tercampak keluar sebelum dirempuh bas ekspres dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 115, Lebuhraya Plus, arah Selatan, dekat Yong Peng, di sini, awal pagi hari ini.

Kemalangan dipercayai berlaku pada jam 2.15 pagi menyebabkan pemandu Perodua Bezza berusia 25 tahun maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dipercayai dalam perjalanan ke Yong Peng.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa tidak sempat mengelak sebelum kereta dipandunya merempuh belakang lori.

"Akibat rempuhan itu, kereta mangsa terbalik dan lelaki itu kemudian tercampak ke tengah jalan.

"Secara kebetulan, datang bas ekspres dari arah sama, tidak sempat mengelak lalu merempuhnya. Rempuhan itu menyebabkan mangsa parah dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.

"Lori dipandu lelaki berusia 48 tahun pula terbabas ke bahu jalan kiri namun pemandunya hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi.

Ismail berkata, pemandu bas berusia 25 tahun serta 28 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa berasal dari Bahau, Negeri Sembilan dengan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai atau saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Asma'i Md Yusoff ditalian 07-4327704." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 6:42 PM