ALEX RINS
ALEX RINS
Reuters

PELUMBA Sepanyol Alex Rins mencatat kejutan kemenangan sulung MotoGP dengan Suzuki di Texas awal pagi tadi ketika juara MotoGP Marc Marquez tersingkir, sekali gus menamatkan siri enam kemenangan berturut-turutnya di Grand Prix Americas.

Berrmula di petak pertama buat kali ketujuh berturut-turut dan memburu kemenangan ketujuhnya di litar Austin, Marquez gagal mengawal motosikal Hondanya dan tergelincir pada pusingan kesembilan daripada 20 pusingan dengan mendahului hampir empat minit.

Jenteranya itu bagaimanapun gagal dihidupkan kembali dan perlumbaan itu berakhir buat pelumba Sepanyol.

Jagoan Yamaha dari Itali Valentino Rossi merampas tampuk pendahulu namun gagal mengekang asakan Rins yang memintasnya pada pusingan ke-17 dan meraih kemenangan dengan kelebihan 0.462 saat.

Pelumba Australia Jack Miller jauh berada di tangga ketiga untuk pasukan Pramac Ducati manakala pelumba Itali Andrea Dovizioso di tangga keempat bersama Ducati untuk terus mendahului kejuaraan selepas tiga perlumbaan.

Dovizioso mengumpul 54 mata manakala Rossi 51 mata dan Rins naik ke tangga ketiga dengan 49 mata. Marquez mengumpul 45 mata.

“Saya menewaskan Valentino, ia sesuatu yang sukar saya percayai,” kata Rins,23, yang memulakan perlumbaan di petak ketujuh.

“Dia adalah idola saya sewaktu kecil.”

Ia adalah kemenangan pertama Suzuki dalam MotoGP sejak kemenangan pelumba Sepanyol Maverick Vinales pada Grand Prix Britain 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 12:50 PM