PEMBUAT ikan kering, Sarifah Saud, 49, (kiri) bersama adik iparnya, Rahimah Mamat menjemur ikan kering di hadapan rumah mereka di Tok Bali. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
PEMBUAT ikan kering, Sarifah Saud, 49, (kiri) bersama adik iparnya, Rahimah Mamat menjemur ikan kering di hadapan rumah mereka di Tok Bali. FOTO Siti Norhidayatidayu Razali
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MUSIM kemarau memberi rezeki berganda kepada pembuat ikan kering atau ikan masin di Tok Bali, Pasir Puteh, apabila mendapat permintaan yang tinggi mencecah 100 kilogram (kg) sehari.

Ibu tunggal, Sarifah Saud, 49, berkata, dia memanfaatkan musim kemarau ini dengan membuat pelbagai jenis ikan kering termasuk ikan talang, gelama, selar kuning dan duri.

Katanya, dia mengusahakan perniagaan ikan kering bersama kakak, Jamilah, 55, yang juga ibu tunggal dan abangnya, Jamil, 52, yang dijual di hadapan rumah mereka.

“Alhamdulillah, sejak musim kemarau ini, proses mengeringkan ikan yang diperap dengan garam hanya mengambil masa sehari.

“Berbanding hari biasa atau musim hujan, kami mengambil masa lebih dua hari untuk mengeringkan ikan.

“Ikan kering ini mendapat permintaan yang tinggi dari pelanggan bukan sahaja dari Kelantan, malah luar negeri ini,” katanya ketika ditemui di Tok Bali, di sini, hari ini.

Menurutnya, ikan kering yang diusahakan menggunakan ikan segar yang dihantar peraih ikan atau dibeli di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)di Tok Bali.

“Ikan dijual dengan harga antara RM18 sekilogram bagi ikan kecil dan RM50 hingga RM80 untuk ikan besar seperti talang serta gelama. Sejak berniaga 12 tahun yang lalu, kami mengutamakan kualiti ikan kerana tidak mahu mengecewakan pelanggan.

“Pada musim ini, kami juga mudah mendapatkan bekalan ikan kerana nelayan turun ke laut dan mendapat tangkapan yang banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 4:58 PM