Kiah melayan dua pembeli ikan pekasam yang datang ke bengkel perusahaannya.
Kiah melayan dua pembeli ikan pekasam yang datang ke bengkel perusahaannya.
Seramai 11 pekerja ­menyiang ikan di depan rumah Kiah Abdullah.
Seramai 11 pekerja ­menyiang ikan di depan rumah Kiah Abdullah.
HM Digital

Permintaan yang tinggi terhadap ikan pekasam khususnya daripada spesies ikan sungai menyebabkan seorang ibu tunggal berusaha gigih membesarkan perusahaan bagi memenuhi permintaan pelanggannya dari seluruh tanah air.

Kiah Abdullah, 60, dari Kampung Pengkalan Ikan, Lenggong, Perak, antara 20 pengusaha ikan pekasam di daerah Lenggong membuat ikan pekasam sebanyak 12 tan metrik hanya dalam tempoh tiga bulan iaitu bermula pertengahan Ogos lalu hingga sekarang.

Beliau berjaya membuat ikan pekasam 12 tan metrik dengan ikan loma saja kerana ikan spesies ini sedang ‘bermusim’ pada Ogos hingga November di Sungai Rui Gerik tahun ini.

“Selain ikan loma dari Gerik, saya menerima bekalan pelbagai spesies ikan seperti lampam, tilapia, sepat dan gelama dengan pelbagai saiz diperolehi dari daerah Taiping, Batu Gajah dan Kinta sebelum ini.

“Saya dibantu 11 pekerja wanita diambil daripada penduduk kampung sekitar terutama untuk kerja menyiang ikan bermula dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang,” katanya ditemui di kilang pemprosesan ikan pekasam di rumahnya, baru-baru ini.

Kiah yang menggunakan jenama produk ‘Kiah Pekasam’ berkata, beliau kini menggunakan peralatan moden dan teknologi terkini kerana ia lebih mudah. Berbanding ketika beliau mula mengusahakan ikan pekasam 30 tahun lalu.

Jika dulu beliau menggunakan tempayan atau guri tetapi kini balang besar yang kedap udara untuk memeram ikan supaya lebih bermutu dan menggoreng beras hancur. Kini beliau juga menggunakan alat penggoreng elektrik dalam kawah menjadi lebih mudah.

“Enam spesies ikan dengan paling banyak dijadikan pekasam ialah loma dari spesies thynnichthys rhynnoides dari keluarga salmon kerana paling banyak permintaan diikuti lampam, tilapia, sepat, tengalan, gelama dan campuran pelbagai spesies ikan,” katanya.

Pekasam Lenggong, Perak yang diusahakan penduduk semenjak lebih 60 tahun lalu dinobatkan sebagai yang terbaik di negara ini semenjak 2004 lalu mempunyai khasiat tinggi.

Ia dijadikan sejenis lauk nasi tradisional turun-temurun berasaskan ikan air tawar selepas diperam mengikut kaedah tertentu dan digoreng bersama beras hancur ini kini turut menjadi makanan pembuka selera di restoran, kedai makan malah hotel.

Kiah berkata, cara membuat ikan pekasam tidak sesukar yang disangka ramai kerana ia hanya memerlukan ikan sebagai bahan asas, beras hancur, garam dan asam tetapi kaedah memproses pekasam harus dilakukan secara baik dan berhati-hati.

Menurutnya, peringkat pertama ikan disiang dengan dibuang perut dan dibersihkan sepenuhnya sebelum ditoskan air ikan serta dilumur dengan garam kasar pada kadar 15 peratus yang kemudian diperap selama dua hingga tiga hari.

“Selepas melalui proses perapan, ikan sekali lagi dicuci dengan air bersih melalui tiga proses dan ditoskan sepenuhnya hingga kering sebelum digaul pula dengan beras hancur yang digoreng.

“Ikan yang digaul beras itu perlu pula diperam dan dimasukkan ke dalam balang atau tong kedap udara serta dicampur dengan asam selama kira-kira dua minggu lagi atau lebih. Apabila ‘matang’ bolehlah dibungkus untuk dipasarkan,” katanya.

“Semua spesies ikan itu diasingkan dalam satu paket berlainan bagi memudahkan pelanggan memilih spesies kegemaran masing-masing dengan loma sebarat 150 hingga 200 gram dijual pada RM4 sepaket atau RM15 sekilogram dan tengalan RM48 sekilogram,” katanya. - D J Dolasoh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 12:16 PM