WAN Sapiah memeriksa  ikan kering yang elok untuk dijual digerai miliknya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
WAN Sapiah memeriksa ikan kering yang elok untuk dijual digerai miliknya. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Tumpat: Permintaan terhadap ikan kering di musim tengkujuh lazimnya sangat tinggi kerana selain dijadikan lauk bagi nasi, ia turut dimakan bersama pulut.

Bagaimanapun sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir seminggu lalu, kelibat pembeli di gerai milik Wan Sapiah Wan Yusoff, 42, di Pantai Geting, di sini, boleh dihitung dengan jari sahaja.

Wan Sapiah berkata, jika sebelum ini, walau dalam keadaan hujan lebat sekalipun, pengunjung tetap bertali arus datang membeli pelbagai ikan kering serta ikan bilis diusahakannya.

"Tapi sudah seminggu jualan sangat berkurangan dan masih banyak ikan disimpan dalam peti hingga ada yang hampir berkulat.

"Selalunya pada musim ini pembeli sudah bertali arus, malah pada hari Jumaat dan Sabtu pula, sudah ada orang menunggu ketika saya masih belum buka kedai.

"Selain pembeli, ramai peraih datang mengambil terus sama ada ikan kering atau budu tempayan yang saya hasilkan, tapi disebabkan PKPB ketika ini, semuanya tergendala," katanya.

Wan Sapiah menghasilkan pelbagai ikan kering antaranya ikan gelama, selar, talang, tenggiri, kekek serta biji nangka yang dijual bermula dengan harga RM6 sekilogram, kecuali ikan talang RM40 sekilogram.

Menurutnya, setiap kali menjelang musim tengkujuh, dia dan tiga pekerjanya yang ditugaskan untuk menyiang, membasuh dan menjemur ikan tidak menang tangan melakukan tugas masing-masing.

"Sebelum ini, kami bertungkus-lumus menyediakan ikan kering bagi mengelakkan bekalan terputus bekalan.

"Bagaimanapun, kali ini saya perlu menghabiskan ikan kering sedia ada termasuk timbunan stok disimpan dalam peti khas di bengkel.

"Jika hari cerah, proses menjemur ikan hanya memakan masa sehari setengah sahaja namun memandangkan kini sudah masuk musim tengkujuh, beberapa kali kami perlu menjemur dan mengangkat ikan sebelum dikeringkan di dalam peti," katanya yang sudah tiga tahun mengusahakan gerai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:47 PM