Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis tahan lelaki di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini, semalam kerana disyaki menipu dengan menggunakan nama Institusi Diraja Johor bagi membebaskan tahanan di Singapura.

Lelaki berusia 27 tahun yang tidak bekerja itu ditahan pada 2.30 petang, susulan laporan polis dibuat mangsa 10.30 pagi semalam berhubung kes penipuan terbabit.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, seorang lelaki mendakwa diperdaya suspek dan menyerahkan RM52,800 secara berperingkat bermula 13 Mei hingga 9 Jun lalu kepada suspek yang dikatakan bekerja sebagai Setiausaha kepada Sultan Johor.

"Suspek berjanji untuk membantu mangsa membebaskan bapa mangsa yang kini ditahan di Penjara Changi, Singapura.

"Bagaimanapun, semakan lanjut dengan pihak Istana Johor mendapati suspek tidak bekerja sebagaimana didakwanya," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas satu telefon bimbit dan kad sim ketika tangkapan dibuat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, petang ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 10:04 AM