SINGAPURA melarang penduduk makan di luar sebagai usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
SINGAPURA melarang penduduk makan di luar sebagai usaha mengekang penularan Covid-19. FOTO AFP.
Agensi

Singapura: Republik ini mengetatkan lagi peraturan bagi membendung penularan Covid-19 dengan mengumumkan beberapa tambahan baharu berkuat kuasa Ahad ini hingga 13 Jun.

Antaranya, melarang penduduknya makan di restoran dan hanya dua orang dalam satu kumpulan dibenarkan berada di luar termasuk berjalan di tempat awam.

Kementerian Kesihatannya turut dilapor berkata, restoran dan pusat penjaja hanya dibenar menawarkan khidmat penghantaran dan pembelian secara bungkus sepanjang tempoh berkenaan.

Kunjungan tetamu di rumah juga dihadkan daripada lima kepada dua orang sehari, lapor Berita Harian Singapura.

Orang ramai perlu mengehadkan perhimpunan sosial serta majikan harus memastikan kakitangan yang boleh bekerja dari rumah berbuat demikian.

Singapura membenarkan solat berjemaah di masjid tetapi jemaah dihadkan kepada kurang 50 orang atau hingga 100 orang pada satu-satu masa, dengan syarat perlu menjalani pemeriksaan suhu sebelum masuk.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Lawrence Wong dalam satu sidang media maya berkata, langkah lebih ketat perlu dilaksanakan berikutan ramai orang mengunjungi Lapangan Terbang Changi beberapa minggu lalu dengan segelintir mereka dijangkiti virus itu.

Katanya, apa yang menjadi kebimbangan apabila mungkin berlaku kes tersembunyi yang sudah merebak dalam masyarakat dan akan meningkatkan lagi kes.

Setakat ini, sebanyak 46 kes direkodkan dalam kluster Lapangan Terbang Changi, menjadikannya kelompok aktif paling besar di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 3:45 PM