PASUKAN HAZMAT membersihkan merkuri yang terdedah di lantai wad kanak-kanak. FOTO ihsan Bomba
PASUKAN HAZMAT membersihkan merkuri yang terdedah di lantai wad kanak-kanak. FOTO ihsan Bomba
Azahar Hashim


Kulim: Sepasukan anggota bomba dikejarkan ke Hospital Kulim di sini, bagi membersihkan cecair merkuri berkuantiti 0.5 mililiter selepas satu termometer pecah di wad kanak-kanak, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 11.20 malam apabila termometer pecah di lantai ketika jururawat mahu memeriksa pesakit di wad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi-Tech, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Yazan Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.17 tengah malam daripada Hospital Kulim mengenai kejadian itu.

Katanya, sepasukan 10 anggota bersama jentera Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi.

"Maklumat awal diterima daripada pihak hospital mengenai satu termormeter pecah di dalam wad kanak-kanak yang menyebabkan merkuri itu terdedah di lantai.

"Pasukan HAZMAT kemudian melakukan tindakan pembersihan di lokasi dan operasi tamat kira-kira jam 2.55 pagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 11:15 AM