RUMAH pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Kokol. FOTO ihsan Bomba
RUMAH pekerja musnah dalam kebakaran di Jalan Kokol. FOTO ihsan Bomba
Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu: Wanita melecur di tangan dan muka dalam kebakaran membabitkan rumah pekerja di Jalan Kokol, Menggatal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa, Chong Mei Lok, 57, yang cedera akibat terkena api kemudian dibawa ke hospital berdekatan oleh ambulans Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, untuk rawatan lanjut.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.35 pagi itu, tiga jentera dengan kekuatan 31 anggota dikerah ke lokasi kejadian.

"Kebakaran membabitkan rumah pekerja empat blok yang mempunyai 54 pintu dan operasi pemadaman terus dilakukan sebaik tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi terkawal pada 4.18 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan JBPM Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 11:03 AM