PELARI memakai rambut palsu berwarna-warni ketika mengambil bahagian dalam acara ‘Larian Warna Kebebasan’ sempena Hari Kemerdekaan Filipina di Bandar Taguig, selatan Manila, semalam.
PELARI memakai rambut palsu berwarna-warni ketika mengambil bahagian dalam acara ‘Larian Warna Kebebasan’ sempena Hari Kemerdekaan Filipina di Bandar Taguig, selatan Manila, semalam.
Reuters

Manila: Presiden Filipina, Benigno Aquino semalam merayu rakyat negara itu mempertahankan demokrasi dan kebebasan mereka serta terus berwaspada kerana mimpi buruk undang-undang tentera ketika era pemerintahan bekas diktator, Ferdinand Marcos mungkin kembali semula.

Dalam ucapan Hari Kemerdekaan terakhirnya sebelum berundur pada 30 Jun ini, Aquino memuji traformasi Filipina ketika pemerintahannya dari “Lelaki Sakit Asia” kepada antara ekonomi paling pantas berkembang.

Katanya, pencapaian itu dicapai tanpa perlu mengetepikan undang-undang dan hak asasi manusia.

Ketika Filipina bersedia untuk penukaran kepimpinan, ramai bimbang pengganti Aquino, Rodrigo Duterte mungkin mengambil laluan lebih bersifat kuku besi.

“Sekiranya kita tidak berjaga-jaga, ia (undang-undang tentera) mungkin berlaku semula,” katanya dalam satu majlis di Istana Presiden yang dihadiri diplomat asing, pegawai tinggi kerajaan dan eksekutif perniagaan.

Duterte masih sangat popular di Filipina walaupun komennya yang menyokong pembunuhan tanpa bicara, menghina pemimpin gereja dan lawak mengenai mangsa rogol.

Komen terbarunya yang menyatakan wartawan juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa pembunuhan menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Bagaimanapun, Duterte kemudian menjelaskan bahawa dia tidak menyokong atau bertolak-ansur dengan pembunuhan wartawan.

Duterte juga berkata, dia akan membenarkan pengebumian Marcos di makam pahlawan walaupun mendapat bantahan keras terutama oleh keluarga Aquino.

Anak lelaki Marcos kelmarin berkata, mayat bapanya yang diawet di dalam keranda kaca di bandar llocos Norte akan dipindahkan ke makam pahlawan pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 10:56 AM