Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, mula dipenuhi orang ramai sejak semalam bagi membeli tiket bas untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri. - Fot
Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan, mula dipenuhi orang ramai sejak semalam bagi membeli tiket bas untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri. - Fot
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun baru memasuki minggu pertama Ramadan, suasana di terminal bas utama di ibu negara sudah agak sesak dengan orang ramai yang mula membeli tiket bas pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.

Tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini, mendapati ramai warga kota beratur panjang sebaik kaunter dibuka untuk mendapatkan tiket bagi perjalanan ke selatan, utara dan pantai timur tanah air.

Golongan muda terutama pelajar universiti dan kolej majoriti pembeli yang memenuhi ruangan kaunter pembelian tiket.

Ketua Pegawai Eksekutif Sani Ekspres Abu Bakar Mohammad ketika dihubungi berkata, semua tiket bas keluaran syarikatnya ke Kelantan sudah habis dijual sejak beberapa hari lalu.

"Kami mula jual tiket pada pertengahan Mei lalu sehingga tiket habis dan kita dapati tarikh pilihan bermula dari 30 Jun hingga 4 Julai," katanya dan syarikatnya tidak bercadang mengadakan perkhidmatan bas tambahan pada musim perayaan ini dan akan menggunakan jumlah bas sedia ada.

Sementara itu Pengurus Utama Ekspres Sdn Bhd Tajudin Mohd Yunos berkata jualan tiket ke Kuantan, Alor Setar, Butterworth dan Ipoh masih kurang mendapat sambutan, meskipun ia mula dijual seminggu sebelum Ramadan.

"Mungkin trend pembeli nak beli pada saat-saat akhir atau dah nak dekat Aidilfitri, tapi kita percaya jualan akan penuh juga nanti," katanya.

Petugas kaunter tiket Causeway Link Mohd Nizamer Mohd Azli berkata sambutan jualan tiket setakat ini masih perlahan walaupun tiket mula dijual minggu lalu.

“Tiket ke Johor Bahru saja banyak dibeli setakat ini, yang lain mungkin pertengahan Ramadan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:59 PM