GAMBAR diedarkan Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan bot peronda melakukan operasi menghalau bot nelayan haram China.
GAMBAR diedarkan Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan bot peronda melakukan operasi menghalau bot nelayan haram China.

Seoul: Korea Selatan dan UN Command yang menyelia gencatan senjata Perang Korea semalam memulakan operasi bersama untuk menghalang bot nelayan China beroperasi secara haram di pantai barat negara itu.

Tindakan itu susulan sekumpulan nelayan Korea Selatan - yang berang dengan tindakan bot China menceroboh perairan tanpa mengendahkan amaran pengawal pantai - menggunakan tali untuk menahan dua pukat tunda China bulan ini dan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa.

Tentera laut dan pengawal pantai Korea Selatan berganding bahu dengan UN Command memantau kira-kira 60 kilometer perairan di muara Sungai Han di antara dua negara Korea, kata pegawai Kementerian Pertahanan.

“Tentera laut, pengawal pantai dan UN Command mewujudkan polis tentera dalam operasi untuk menghalau bot nelayan China,” katanya.

Lebih 10 bot nelayan China dilihat di muara itu semalam, tetapi lari ke pesisiran pantai Korea utara sebaik operasi berkenaan bermula. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:05 AM