PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. FOTO Eizairi Shamsudin
PENGARAH Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. FOTO Eizairi Shamsudin
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kejadian lauk ikan bawal masam manis berulat yang dibeli seorang pelanggan di Bazar Ramadan Pekan Kuala Nerang, di sini, berkemungkinan akibat pencemaran berlaku ketika ikan sejuk beku yang diproses dibiar terdedah sehingga dihurungi lalat.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, hasil siasatan itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengadu yang membuat laporan di Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap Rabu lalu, kira-kira jam 3.30 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan oleh pihaknya di gerai itu mendapati, keadaan keseluruhan premis itu memuaskan, namun mempunyai kepadatan hurungan lalat yang tinggi.

"Kita dapati, kesemua 22 pekerja terbabit menerima suntikan mencegah tifoid dan sudah menjalani latihan pengendali makanan sebelum ini.

"Selain itu, kita turut melakukan tindakan kawalan lalat dengan semburan lysol di tempat penyediaan makanan dan tapak bazar Ramadan terbabit selain mengesyorkan tong sampah berhampiran dipindahkan," katanya.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 20-an, mendakwa membeli juadah lauk itu di bazar Ramadan di Pekan Kuala Nerang bersama isterinya jam 6.30 petang pada hari kejadian sebelum terkejut apabila juadah itu berulat ketika menjamahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 2:15 PM