Zuliaty Zulkifli


Padang Terap: Seorang penjawat awam terkilan dengan tindakan peniaga bazar Ramadan pekan Kuala Nerang yang didakwa menjual lauk berulat kelmarin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Azhar, 20-an berkata, dia membeli lauk ikan bawal masam manis itu dengan harga sekitar RM4 sebagai juadah berbuka puasa pada hari kedua puasa.

"Saya sudah menjamah hampir separuh nasi berlaukkan ikan bawal itu sambil menonton televisyen bersama isteri dan anak perempuan berusia 12 bulan ketika berbuka puasa.

"Namun saya hanya menyedari sudah termakan ikan berulat itu selepas isteri melihat ada benda bergerak dalam isi dan tulang ikan itu menyebabkan saya ke bilik air dan memuntahkan semula apa yang dimakan," katanya yang turut membuat laporan di Pejabat Kesihatan Daerah Padang Terap, semalam.

Menurutnya, dia berharap kejadian ini tidak berulang dan meminta pihak berkaitan menyiasat kejadian itu.

Kejadian itu turut menjadi viral di laman sosial sejak malam kelmarin selepas dimuat naik isterinya di Facebook sebelum dikongsi orang ramai yang meluahkan kekecewaan dengan sikap penjual bazar terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 2:21 PM