Kuala Lumpur: Seorang pereka grafik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memuat naik imej badut menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di laman sosial Instagram miliknya, Februari lalu.

Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zulbahrin Zainuddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd Fahmi, 39, didakwa pada 31 Januari lalu menggunakan perkhidmatan Instagram ‘kuasasiswa’ di pautan https://www.instagram.com/p/BBMkpBEAcL/secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perkara itu telah dibaca di No 35, Jalan BP 10/10, Bandar Bukit Puchong 2, dekat sini pada jam 6 petang, 1 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi memastikan perbicaraan kes itu berjalan lancar.

Bagaimanapun peguam Syah Redzan Johan yang mewakili Fahmi Reza memohon mahkamah memberikan bon tanpa cagaran atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan selain memohon jaminan minimum sebanyak RM2,000 sekiranya mahkamah tidak membenarkan bon terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:58 AM