TERTUDUH hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
TERTUDUH hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen, hari ini, atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di laman Facebook miliknya berhubung isu pengharaman jualan minuman keras di negara ini.

Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Fahmi didakwa melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan profil 'Fahmi Reza' pada 11.45 pagi, 1 Jun tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penghantaran komunikasi itu dibaca pada 9 pagi, 2 Jun 2021 di unit pangsapuri di Jalan 2/48A Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Jika disabitkan kesalahan, Fahmi boleh dihukum maksimum denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 kepada Fahmi.

Bagaimanapun, peguam yang mewakilinya, Rajsurian Pillai dalam rayuan bagi meringankan jaminan berkata, anak guamnya tidak berisiko melarikan diri dan mengganggu mana-mana saksi, malah beliau memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Selepas mendengar hujahan peguam itu, Edwin memerintahkan Fahmi dikenakan jaminan RM3,000 dan menetapkan sebutan kes pada 30 Mac ini.

Pada 10 Februari lalu, Fahmi didakwa atas pertuduhan sama membabitkan isu peraturan kuarantin terhadap menteri yang pulang dari lawatan rasmi di luar negara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 11:26 AM