PERANCIS wajib menang pada aksi perlawanan pembukaan.
PERANCIS wajib menang pada aksi perlawanan pembukaan.
AFP

Paris: Persiapan Perancis yang dihimpit kontroversi luar padang selain masalah kecederaan dilihat sudah berakhir buat pasukan tuan rumah itu yang bakal berdepan Romania pada perlawanan pembukaan kumpulan A di Stadium Stade de France, awal pagi esok.

Persediaan pasukan Les Bleus terganggu apabila penyerang Real Madrid Karim Benzema mendakwa penyingkirannya daripada skuad itu disebabkan isu perkauman.

Kali terakhir Benzema bermain untuk Les Bleus pada Oktober lalu selepas dia terpalit dengan skandal ugutan video seks membabitkan rakan sepasukan antarabangsanya Mathieu Valbuena.

Penjaring terbanyak Perancis berketurunan Algeria itu mendakwa jurulatih Didier Deschamps terpaksa tunduk kepada tekanan isu perkauman di Perancis.

Di samping itu, rakan sepasukan Benzema di Real Madrid Raphael Varane juga akan terlepas kejohanan ini selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pilihan jurulatih Didier Deschamps di bahagian pertahanan semakin merunsingkan apabila pemain Barcelona Jeremy Mathieu dikeluarkan daripada skuad manakala pemain pertahanan Liverpool Mamadou Sakho tidak disenaraikan kerana menjalani penggantungan sementara UEFA susulan masalah doping.

Lassana Diarra, Kurt Zouma dan Mathieu Debuchy juga disingkirkan, sekali gus membuatkan Deschamps tertekan dengan masa semakin suntuk.

“Semua yang berlaku kepada kami sejak senarai pasukan diumumkan pada 12 Mei lalu, tidak pernah saya bayangkan walaupun dalam mimpi ngeri saya sebelum ini,” katanya.

Namun, harapan masih cerah untuk Les Bleus dengan kehadiran pemain muda berbakat seperti Paul Pogba, Anthony Martial dan Antoine Griezmann yang dilihat sebagai mampu mengulangi kegemilangan pasukan itu muncul juara Piala Dunia 1998 dan Euro 1984 di laman sendiri.

“Kami mempunyai peluang cerah bermain di laman sendiri, pasti ada tekanan tapi ia sesuatu yang positif,” kata penjaga gol pasukan itu Steve Mandanda.

“Kami mempunyai kewajipan untuk bermain baik dengan objektif bermain untuk menang,” katanya.

Perancis ketika ini berada dalam prestasi terbaik apabila menang sembilan daripada 10 perlawanan terakhir sejak setahun lalu dan hanya tewas di tangan England selepas emosi pemain terganggu berikutan insiden serangan pengganas di Paris November lalu.

Tiga gol dalam dua perlawanan persahabatan pemanas badan yang dijaringkan Olivier Giroud juga dianggap melegakan selepas kemampuan penyerang itu dikritik dan diragui mampu menggantikan Benzema.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:11 AM