Oleh Mohd Fadly Samsudin

Petaling Jaya: “Mereka (penjenayah) terus meluru ke arah saya sebelum menolak saya hingga jatuh. Mereka kemudian terus melarikan kereta Volvo saya,” kata bekas Timbalan Pengarah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Ramli Karim, 68, selepas keretanya dilarikan penjenayah ketika berada di hadapan rumah anaknya.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi semalam, mangsa turut kehilangan sepucuk pistol model Smith & Wesson Magnum yang diletakkan di dalam keretanya itu.

Menurutnya, kejadian berlaku amat pantas dan suspek sebelum itu muncul menaiki motosikal.

“Saya hanya cedera sedikit di siku akibat ditolak penjenayah,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memberhentikan kereta Volvo S80 di hadapan rumah di Damansara Kim di sini.

Menurutnya, kereta mangsa dibiar dalam keadaan enjin masih dihidupkan.

Difahamkan, mangsa pergi ke rumah anak untuk mengambil cucunya untuk dibawa ke kelab golf.

“Mangsa keluar dari kereta untuk menekan loceng rumah anak sebelum dihampiri dua motosikal Honda EX5 dinaiki empat lelaki.

“Salah seorang suspek kemudiannya masuk dalam kereta mangsa. Mangsa menjerit menyebabkan suspek keluar dan menolaknya,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan kereta mangsa bersama beberapa barangan termasuk sepucuk pistol dan dokumen peribadi.

“Ketika kejadian tiada saksi dan mangsa turut calar di siku kanan akibat ditolak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 8:59 AM