myMetro

Kuala Lumpur: Visa Malaysia (Visa) menyasarkan menggandakan pertumbuhan pemegang kad Muslim dalam 12 bulan akan datang melalui platform Islamik Visa-Mitra yang dihasilkan dengan kerjasama Mitra Kembara Sdn Bhd (Mitra).

Pengurus Negaranya, Ng Kong Boon berkata, segmen pemegang kad Muslim mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan 25 peratus daripada 25 juta kad debit dan kredit Visa di Malaysia adalah pemegang kad Muslim.

“Sehingga kini, kami memiliki asas pemegang kad Muslim kukuh yang mewakili lima juta pemegang kad dikeluarkan beberapa institusi perbankan Islam di negara ini,” katanya selepas pelancaran Platform Islamik di sini, semalam.

Platform Islamik Visa-Mitra adalah platform Islamik diwujudkan khusus untuk pemegang kad debit dan kredit Visa yang menyediakan perkhidmatan dan jelajah kepada pelancong Muslim.

Presiden Kumpulan Mitra, Tunku Datuk Seri Iskandar Tunku Abdullah berkata, kerjasama dengan Visa menggariskan kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang disediakan eksklusif kepada pemegang kad Visa yang berpeluang menikmati diskaun istimewa untuk sesetengah produk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:04 AM