AEF 2016 adalah acara tahunan anjuran Kerajaan Kazakhstan dan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekonomi bagi membincangkan isu berkaitan ekonomi semasa.
AEF 2016 adalah acara tahunan anjuran Kerajaan Kazakhstan dan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekonomi bagi membincangkan isu berkaitan ekonomi semasa.
Sofyan Rizal Ishak dari Astana dan Kazakhstan

Kazakhstan merancang untuk menarik pelaburan asing sebanyak AS$100 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang berdasarkan 200 projek yang diusahakan bersama rakan kongsi dari luar negara.

Menteri Pembangunan dan Pelaburannya, Asset Issekeshev berkata, kerajaan komited dalam menyediakan pelbagai pelan bagi mencapai sasaran itu melalui penerokaan dan pengukuhan dalam sektor sedia ada dan baru.

Menurutnya, sektor utama negara ini iaitu perlombongan dan mineral berada pada kadar yang perlahan pada tahun lalu dengan 70 peratus daripada jumlah pelaburan asing menurun sejak lima tahun lalu dengan nilai melebihi AS$4 bilion.

“Walau bagaimanapun, pelabur dilihat berminat dengan segmen seperti pelombongan mineral dan pada masa sama kami memberi fokus kepada sektor pembuatan yang berpotensi untuk terus menjana pendapatan di mana ia berjaya menarik pelaburan melebihi AS$20 bilion,” katanya pada Sidang Kemuncak Pelaburan Kazakhstan sempena Forum Ekonomi Astana (AEF 2016), di sini, semalam.

Beliau berkata, sektor pembuatan Kazakhstan kukuh pada tahap 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh lima tahun manakala sektor perlombongan mineral jatuh daripada 20 ke 12 peratus.

“Lebih daripada 2,000 perusahaan dalam industri pembuatan sudah diwujudkan dalam tempoh lima tahun fasa perindustrian dengan 26 sektor ekonomi baru dan lebih 200,000 jawatan baru diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melihat pelabur asing memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pelaburan ke negara itu melalui pelbagai mekanisme termasuk penswastaan.

“Kami mengalu-alukan kerjasama daripada semua pelabur dan akan meningkatkan lagi usaha untuk mewujudkan situasi yang selesa untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 7:03 AM