HASAN (kiri) bersama Teng pada prapelancaran Ekspo Antarabangsa Selangor 2016.
HASAN (kiri) bersama Teng pada prapelancaran Ekspo Antarabangsa Selangor 2016.
Sofyan Rizal Ishak

Subang Jaya: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) menjangkakan jumlah pelaburan lebih rendah daripada sektor pengilangan iaitu sebanyak RM6 bilion pada tahun ini berbanding RM7.92 bilion tahun lalu ekoran situasi ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hasan Azhari Idris berkata, sasaran itu membabitkan penurunan kira-kira 24 peratus dan ia dilihat sebagai realistik memandangkan sasaran pelaburan langsung asing (FDI) global juga dijangka menurun pada 2016.

“Kami jangka jumlah pelaburan tahun ini dijana melalui lima sektor yang diberi fokus utama oleh Kerajaan Selangor iaitu elektrik dan elektrikal, pembuatan makanan, peralatan pengangkutan, peralatan dan jentera dan sains hayat,” katanya pada sidang media bersempena prapelancaran Ekspo Antarabangsa Selangor 2016, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim.

Pada tahun lalu, Selangor mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM7.92 bilion dalam sektor pengilangan di mana ia adalah peningkatan berbanding RM7 bilion pada 2014 dengan 55 peratus disumbangkan melalui lima sektor utama terbabit.

Sektor perkhidmatan turut mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM3.9 bilion di mana angka itu hanya merangkumi beberapa jenis perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan swasta, latihan dan vokasional, minyak dan gas, hotel, logistik dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi fokus kepada empat sektor lain seperti aero angkasa, bioteknologi, perdagangan dan perkhidmatan serta perdagangan elektronik (e-commerce) sebagai langkah untuk mempelbagaikan lagi sektor pelaburan di Selangor pada tahun ini.

“Untuk 2016, kami akan mempertingkatkan aktiviti promosi kepada 17 misi ke luar negara berbanding 11 aktiviti tahun lalu. Walaupun, situasi ekonomi tidak begitu baik, kami melihat ia sebagai masa terbaik melakukan promosi ketika kebanyakan agensi promosi dan negara tidak aktif dalam perkara terbabit,” katanya.

Dalam masa sama, Invest Selangor bakal menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor 2016 buat kali kedua pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:58 AM