KANE miliki bisa tersendiri.
KANE miliki bisa tersendiri.
Reuters

London: Penyerang Tottenham Harry Kane percaya dia dan penggempur Leicester Jamie Vardy akan mencetus satu daripada gandingan serangan mantap buat England pada Euro 2016 di Perancis bulan depan.

Kane mengatasi Vardy dengan satu gol dalam perlumbaan merebut kasut emas Liga Perdana selepas menyumbat 25 gol untuk muncul pemain Inggeris pertama meraih anugerah itu sejak penyerang Sunderland Kevin Phillips 16 tahun lalu.

Kedua-duanya menjaringkan gol ketika England menang 2-1 ke atas Turki pada aksi persahabatan di Manchester Ahad lalu ketika gandingan baharu itu terus menyerlah di peringkat antarabangsa.

“Kami patut dianggap antara penyerang terbaik di Eropah. Kami di puncak sana, kami yakin, kedua-dua kami menjaringkan gol dan ia mungkin berpanjangan,” ujar Kane.

Penyerang Manchester United Wayne Rooney berdepan saingan getir untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama di barisan hadapan dan pengurus Roy Hodgson mungkin terpaksa meletakkan penjaring gol terbanyak England sepanjang zaman itu di bahagian tengah sebagai kapten dalam kesebelasan utama.

Kane yakin Rooney boleh beralih daripada seorang penjaring gol kepada perancang gerakan dan berharap mendapat faedah berikutan keupayaan kapten England itu menyambut hantaran.

“Wayne Rooney bertindak hebat di posisi itu, tapi kami tetap perlu bersaing merebut tempat,” kata Kane.

“Ada banyak pilihan... pengurus akan melakukan apa yang beliau mahu. Tapi saya tidak kisah siapa yang bermain kerana apa yang penting memastikan kemenangan pasukan.”

England, yang bertemu Australia pada aksi pemanas badan awal pagi Sabtu ini, berdepan Russia, Slovakia dan Wales dalam Kumpulan B pada kejohanan 24 negara itu yang bermula 10 Jun ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:34 AM