REDMI Note 3 curi hati pengguna.
REDMI Note 3 curi hati pengguna.
Afiq Hanif


Xiaomi bukan lagi nama yang asing di mulut pengguna telefon pintar dan mereka semakin menunggu produk baru dikeluarkan syarikat dari China terbabit.

Berdasarkan strategi harga patut namun masih menawarkan spesifikasi padu, Xiaomi nampak kian kukuh di arena telefon pintar ditambah model baru diperkenalkan, Redmi Note 3.

Redmi Note 3 model peringkat pertengahan namun uniknya kali ini, ia kelihatan premium dengan bahan aluminium, pengimbas cap jari dan rekaan menawan.

Tidak lagi kelihatan murah, penguji mendapati Redmi Note 3 mempunyai kelasnya tersendiri dan wajar diberi tumpuan sekiranya anda sedang mencari telefon pintar sekarang.

Penguji memulakan dulu dengan reviu kamera yang masih menjadi kekurangan pada produk ini berbanding jenama lain yang berasal dari China.

Kamera utama mempunyai resolusi 16MP dengan apertur f/2.0 dan ia disediakan bersama flash LED dual-tone selain fokus automatik PDAF yang pantas.

Namun kamera depan jauh berbeza dengan resolusi 5MP f/2.0 manakala rakaman video pula hanya pada HD 720p yang tidak kelihatan baik pada proses akhir.

Kamera depan itu hanya ‘ngam-ngam’ untuk berselfie pada format 4:3 dan kualitinya mungkin perlu diperbaiki dengan filter yang ada pada Instagram anda.

Ia bermakna, hashtag #nofilter bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan ketika bersosial.

Beberapa ciri manual kamera pula agak terhad diteroka bermakna apa yang ada pada menu, itulah saja yang boleh digunakan.

Nasib baik, Xiaomi mengekalkan ciri kamera uniknya iaitu meneka umur pengguna dan memaparkannya di skrin.

Sekurang-kurangnya ia sedikit menyeronokkan untuk mengetahui kamera mampu meneka usia rakan anda. Bercakap mengenai rekaan telefon, memandangkan Redmi Note 3 mempunyai rekaan aluminium, anda tidak boleh menanggal penutup belakang yang turut bermakna bateri tidak boleh dikeluarkan.

Slot kad pula direka hibrid sama ada satu kad SIM ditambah satu kad memori mikroSD atau dua kad SIM tanpa kad memori.

Jadi pilih salah satu saja. Pengimbas cap jari terletak di bahagian belakang.

Seronoknya menggunakan Redmi Note 3 ini, meskipun ia telefon peringkat pertengahan, prestasinya sangat memberangsangkan pada pemprosesan Qualcomm Snapdragon 650 hexa core dengan RAM 3GB.

Namun ada juga RAM 2GB yang dijual murah bersama storan 16GB.

Antara ciri unik yang didapati dalam Redmi Note 3 termasuk Mi Remote yang membolehkan anda mengawal perkakasan elektrik seperti TV dan pendingin hawa malah kamera DSLR.

Telefon ini mempunyai ketahanan bateri yang mampu digunakan selama 20 jam secara aktif dengan kapasiti 4050mAh.

Ia turut dilengkapi teknologi Quick Charge 1.0 dari Qualcomm yang mampu mengecas penuh dalam tempoh dua jam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:37 AM