XIAOMI Mi Note
XIAOMI Mi Note
Oleh Afiq Hanif


Xiaomi menampakkan taring dengan memperkenalkan pelbagai segmen yang sudah pasti membuka mata mengenai keupayaan syarikat terbabit menghasilkan inovasi baru.

Malah, pengeluar telefon pintar ketiga terbanyak di dunia itu kini mempunyai pelbagai resipi kejayaan termasuk acuan yang disediakan bagi phabletnya, Mi Note.

Boleh dikatakan ia menjadi phablet dengan spesifikasi terbaik di pasaran berbeza dengan Redmi Note kerana mesin terbabit disasarkan untuk pasaran mampu milik pada kadar harga yang rendah.

Sekali pandang, Mi Note kelihatan seperti Mi4 dengan rekaan aluminium yang menjadi kerangka luarnya di samping dua pembesar suara ditempatkan di bahagian bawah bersama port mikroUSB serta tahap nipisnya yang hanya 6.95mm.

Tetapi skrin yang besar, 5.7 inci menjadikannya jauh berbeza daripada Mi4. Skrin menggunakan teknologi IPS HD Penuh 1920 x 1080 serta dilengkapi Corning Gorilla Glass 3 yang sedikit melengkung di tepi.

Skrin hadapan menggunakan gelas lengkung 2.5D manakala bahagian belakangnya menggunakan kaca Corning Gorilla Glass yang sama, tetapi melengkung 3.0D di tepinya.

Bahagian dalamnya menyaksikan Mi Note mempunyai perkakasan yang sama seperti Mi4 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 801 quad core berkelajuan 2.5GHz dengan RAM sebanyak 3GB.

Setoran dalamannya mempunyai dua kapasiti pilihan, 16GB atau 64GB namun tiada pilihan memori tambahan memandangakan Xiaomi tidak menyediakan slot kad memori mikroSD.

Kamera belakang Mi Note diperkasakan oleh sensor CMOS Sony IMX214, 13MP dengan apertur f/2.0 serta penstabil imej optikal (OIS). Ia juga mempunyai dwi flash LED sementara kamera hadapannya hanyalah 4MP yang berbeza dengan Mi4 (8MP).

Bateri pada Mi Note berkapasiti 3000mAh yang tidak boleh dibuka mungkin kerana rekaannya yang fokus pada kenipisan reka bentuk badan.

Xiaomi melengkapkan lagi kuasa Mi Note dengan teknologi pengecasan Qucik Charge 2.0 yang boleh mengecas bateri lebih pantas dari biasa.

Audio pada telefon Mi Note ini juga berkualiti tinggi. Ia mempunyai dekoder audio ESS ES9018K2M, sebuah cip pemrosesan audio hi-fi mudah alih.

INFO

Xiaomi Mi Note

- Pengeluar: Xiaomi

- Laman FB: XiaomiMalaysia

- Ciri: Phablet

- Pro: Spesifikasi tinggi

- Kontra: Cepat panas

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 12:22 PM