FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PENIAGA burger dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga individu, tahun lalu.

Tertuduh Muhamad Abdul Rahman Ahmad, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Hakim Ghazali Mohd Taib dan Hakim Zaman Mohd Noor.

Di hadapan Ghazali, tertuduh didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan ke atas beg tangan milik pegawai imigresen, Nurul Norhasriza Shaari, 24, di Jalan Sri Hartamas 1, Kuala Lumpur pada 8.20 pagi, 25 Ogos 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan bersenjatakan sebilah pisau ke atas pembuat roti, Ng Moon Shing, 25, dengan mengambil beg tangan hingga menyebabkan kerugian RM280 di Jalan Danau Saujana, Setapak pada 6.57 pagi, 16 Julai 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Yusoff AG Lah.

Terdahulu, Amira tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh atas alasan kesalahan yang dilakukan serius dan semakin menular di Lembah Klang bagaimanapun Mohd Yusoff memohon mahkamah memberikan jaminan yang minimum kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sementara prosiding di hadapan Zaman, tertuduh didakwa bersama-sama tiga orang yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan ke atas pekerja bengkel, Sze Sun, 48, menggunakan penyembur api di Jalan Batu 5, Jalan Gombak, Setapak pada 6.30 petang, 8 September 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:10 PM