NURUL Fatin (kiri) dan Siti Naziah antara 10 terbaik dunia ACCA.
NURUL Fatin (kiri) dan Siti Naziah antara 10 terbaik dunia ACCA.
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Belajar dengan inisiatif sendiri membuahkan hasil bagi dua pelajar apabila berjaya menempatkan diri antara 10 terbaik di dunia menerusi peperiksaan The Association of Charted Certified Accounts (ACCA) bagi sesi Mac 2021.

Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dari Kuala Berang, Terengganu mendapat tempat pertama di Malaysia dan ketujuh di dunia bagi peperiksaan Strategic Business Reporting (SBR).

Siti Naziah Mohamad Nazid, 21, dari Taiping, Perak pula mendapat tempat pertama di Malaysia dan tempat kesembilan di dunia bagi peperiksaan Audit & Assurance (AA).

Dua pelajar di bawah seliaan Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) itu antara 92,000 calon di seluruh dunia yang menduduki peperiksaan itu pada masa sama.

Nurul Fatin Nabihah yang menerima tajaan Yayasan Sime Darby berkata, banyak cabaran dihadapi berikutan perlu mengikuti kelas secara dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutama masalah talian internet.

Bagaimanapun, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pensyarah banyak membantu termasuk berusaha merekod video untuk memastikan pelajarnya faham apa diajar.

"Selain itu untuk lebih memahami apa yang diajar saya turut mencari inisiatif menonton video pendek mengenai pelajaran di Youtube.

"Bagi saya belajar dengan cara ini amat berkesan kerana jika hanya membaca akan berasa bosan terutama apabila berseorangan berbanding jika belajar di dalam kelas yang ada ramai kawan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Graduan Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, beliau bersyukur apabila satu lagi kertas peperiksaan iaitu Advanced Taxation (ATX) juga lulus dan berharap dua lagi peperiksaan akan datang berjaya sebelum dijangka tamat pengajian pada September 2021.

Katanya, selepas tamat pengajian pada Januari 2020 lalu, beliau terus mendapat kerja sebagai akauntan di sebuah syarikat di Terengganu namun merasakan perlu menambahkan lagi kemahiran dan memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam ACCA.

"Selepas tamat ACCA saya mahu mencari pengalaman bekerja dalam pengauditan atau percukaian terlebih dahulu sebelum berhasrat menjadi Pensyarah Perakaunan," katanya.

Siti Naziah ketika dihubungi berkata, beliau tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang kerana pada mulanya merasa hampir putus asa apabila gagal dalam dua ujian diberikan oleh pihak kolej.

Akuinya, dirinya sedikit tertekan kerana perlu belajar secara dalam talian berikutan berdepan kesukaran memahami apa diajar pensyarah berbanding jika belajar di dalam kelas.

"Saya hampir mengalah ketika itu, tetapi berkat dorongan dua rakan baik Syaza Syariah Eddy Syazri dan Noor Syafiqah Mohd Tarmizi saya bangkit semula.

"Hampir setiap hari kami bertiga belajar secara berkumpulan menerusi panggilan video kerana masing-masing tinggal jauh namun dengan cara ini kami dapat memberi lebih tumpuan," katanya yang bercita-cita menjadi akauntan bertauliah.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, sebaik menerima keputusan pada minggu lalu, dirinya terkejut dan tidak menyangka berjaya mendapat keputusan cemerlang.

Katanya yang dijangka menamatkan pengajian pada Mac 2022, dua rakannya turut mendapat keputusan baik hasil belajar bersama menerusi panggilan video.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, kejayaan pelajar dari golongan B40 dan asnaf itu membuktikan yang jika diberikan peluang dan bimbingan, mereka juga mampu cemerlang.

Katanya, MyPAC dengan kerjasama pelbagai pihak korporat dan Pusat Zakat akan meneruskan usaha murni itu bagi memastikan lebih ramai pelajar dari keluarga kurang berkemampuan mendapat peluang menjadi akauntan profesional.

"Terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang banyak menyokong usaha MyPAC dan memberi kepercayaan serta keyakinan sejak tahun 2018 lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 8:34 PM