LIM (dari kiri), Zaiton dari MyPAC dan Airil pada majlis menandatangani MoU antara TYMBA Education, MyPac dan ACCA.
LIM (dari kiri), Zaiton dari MyPAC dan Airil pada majlis menandatangani MoU antara TYMBA Education, MyPac dan ACCA.
Sri Ayu Kartika Amri

TYMBA Education bersama Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) dan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) komited memupuk pelajar dari golongan berpendapatan rendah untuk menjadi akauntan cekap bertaraf dunia.

Inisiatif itu dizahirkan melalui permeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara TYMBA Education, MyPAC dan ACCA baru-baru ini.

Melalui kerjasama ini, pelajar Bumiputera di TYMBA yang layak akan menerima tajaan penuh daripada MyPAC untuk menjalani program bagi menjadi akauntan bertauliah berkanun.

Mengikut syarat MoU terbabit, TYMBA Education membiayai yuran pembelajaran bagi subjek pertama pelajar dalam Program Exam Admix dan menyediakan sokongan secara dalam talian, pemantauan perkembangan pembelajaran pelajar, pemantauan kualiti pendidikan serta pelbagai sokongan tambahan lain sepanjang proses pembelajaran.

Ia bertujuan mengenal pasti pelajar yang layak supaya mereka diberikan biasiswa seterusnya bagi menyelesaikan pembelajaran ACCA mereka.

Selepas pelajar lulus penilaian pertama, TYMBA Education akan terus menyampaikan ilmu dan kemahiran praktikal yang menepati piawaian amalan perakaunan antarabangsa dan tempatan sepanjang program itu bagi memastikan pelajar bersedia untuk dunia pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, fokus MyPAC adalah untuk menyediakan peluang kepada pelajar daripada golongan asnaf dan B40 yang layak.

Katanya, ini juga seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan pendidikan berkualiti, pekerjaan sesuai dan pembangunan ekonomi serta mengurangkan ketidaksamaan.

"Pengalaman daripada pembabitan kami dalam menyokong pelajar ini mengukuhkan lagi niat kami untuk membasmi kemiskinan dengan cara yang lebih mampan.

"Kebanyakan pelajar kami, sebahagiannya bekerja sebagai akauntan profesional di luar negara dan tempatan, menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan pendapatan isi rumah mereka, seterusnya mengeluarkan keluarga mereka daripada kategori asnaf serta B40 dan ini pencapaian yang amat kami banggakan," katanya.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk mendidik lebih ramai lagi pelajar perakaunan Bumiputera mengenai kepentingan sijil yang diiktiraf serata dunia.

Tambahan lagi, banyak laporan menyatakan ada permintaan tinggi di Malaysia untuk akauntan profesional yang masih tidak terpenuhi, seterusnya menyumbang kepada 143.2 peratus peningkatan jawatan kosong.

Ketua Pegawai Eksekutif TYMBA Education, Airil Razali pula berkata, melalui kerjasama ini, TYMBA berhasrat untuk berusaha ke arah visi jangka panjang mereka dalam meningkatkan jumlah akauntan pakar dalam kalangan Bumiputera dalam tenaga kerja sekarang yang kini hanya 5.0 peratus daripada 35,000 ahli yang berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

"Usaha sama antara TYMBA, MyPAC dan ACCA sudah pastinya akan membuka lebih banyak peluang kepada Bumiputera berpendapatan rendah untuk terus berusaha mendapatkan pensijilan yang diperlukan untuk menjadikan mereka akauntan bertauliah.

"Keperluan untuk akauntan profesional yang berdaya saing global di Malaysia sentiasa ada dan kami berharap dapat mendidik generasi yang akan datang supaya mereka cukup tangkas dalam menghadapi keperluan berbeza pelbagai industri," katanya.

Sementara itu, Ketua Portfolio ACCA Maritime Southeast Asia, Andrew Lim berkata, walaupun perakaunan terbukti sebagai pekerjaan yang tangkas dan berdaya tahan, namun semua pihak masih perlu sentiasa bersedia untuk masa hadapan di mana fungsi kewangan mencakupi peranan lebih luas daripada sebelumnya.

Sebagai salah satu Pusat Pembelajaran yang diluluskan ACCA (ALP) (dalam talian) yang berstatus Emas, TYMBA Education akan bekerjasama dengan ACCA bagi memastikan kurikulum mereka sentiasa dikemas kini berdasarkan piawaian industri yang sentiasa berubah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 6:03 AM