IMAM Husein menunjukkan ruang untuk menyimpan jenazah orang Islam sebelum dikebumikan.
IMAM Husein menunjukkan ruang untuk menyimpan jenazah orang Islam sebelum dikebumikan.
MASJID Kaohsiung mengandungi tiga tingkat dan menjadi kebanggaan penduduk Islam setempat.
MASJID Kaohsiung mengandungi tiga tingkat dan menjadi kebanggaan penduduk Islam setempat.
MASYARAKAT Islam berbuka puasa di Masjid Agung Taipei.
MASYARAKAT Islam berbuka puasa di Masjid Agung Taipei.
Teks dan foto Ahmad Saufi Mansor


(yang mengikuti Muslim Media Familiarization Trip bersama Biro Pelancongan Taiwan dan AirAsia X)

"Tugas imam di negara ini ibarat kedai serbaneka 7 Eleven," antara ayat yang masih terngiang-ngiang pada fikiran penulis walaupun sudah kembali ke Malaysia apabila berpeluang bertemu Imam Masjid Kaohsiung di Bandar Kaohsiung, Taiwan, Husein Abu Yasin yang memiliki wajah lembut tetapi menyakinkan.

Malah, lelaki berusia 60 tahun berasal dari bumi Myanmar itu turut menyatakan, seorang rakan wanita bukan Islam yang ingin memasuki ruangan masjid tanpa menutupi aurat tiada kesalahan dengan dirinya, tetapi antaranya dengan Allah SWT.

Kata-kata yang dilontarkan lelaki itu walaupun tampak tenang, tetapi memiliki makna tersirat apabila isu syurga dan neraka adalah terletak di tangan Tuhan, bukan manusia, malah turut menyifatkan Islam adalah agama yang mudah, sekali gus itu antara kaedah untuk menarik bukan Islam menganutinya.

Menyedari komuniti Islam di Taiwan hanya berjumlah sekitar 150,000 orang dengan kebanyakannya terdiri daripada pekerja warga Indonesia, maka secara tidak langsung membuktikan syiar Islam boleh bertapak di negara yang turut dikenali sebagai Pulau Formosa itu.

Walaupun jumlah populasi orang Islam di negara yang pernah dijajah Jepun untuk tempoh 50 tahun ini kecil, terdapat enam masjid di Taiwan dengan Masjid Besar Taipei disifatkan paling tersohor.

Selain Masjid Kaohsiung, terdapat empat masjid lain di samping Masjid Besar Taipeh iaitu Masjid Kebudayaan Taipei di Zhongzheng, Taipei; Masjid Taichung di Nantun, Taichung; Masjid Long Gang di Zhongli, Taoyuan dan Masjid Tainan di Bandar Tainan.

Lebih menarik, terdapat kewujudan Persatuan Cina Muslim (CMA) yang dianggap sebagai organisasi Islam terbesar di Taiwan dengan menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan masyarakat Islam di seluruh negara berkenaan, selain mengeluarkan sijil halal untuk makanan buat umat Islam.

Husein yang kerap melafazkan kalimah alhamdulillah sepanjang berbicara berkata, tanggungjawab seorang imam di negara itu begitu besar kerana menjadi sumber rujukan selain perlu mempunyai hati yang tabah.

Menurutnya, perkembangan syiar Islam di Taiwan boleh disifatkan amat baik terutama kehadiran ramai pekerja dari Indonesia, sekali gus mereka mampu berkumpul terutama ketika menunaikan solat Jumaat bagi merapatkan ukhuwah di masjid itu.

"Ketika mula berhijrah ke negara ini, beberapa pihak memberitahu saya pasti menghadapi kesukaran menjalani kehidupan di negara yang mempunyai komuniti Islam agak kecil, namun saya tetap meneguhkan pendirian kerana mungkin orang tidak faham mengenai keistimewaan agama Islam.

"Malah, saya pernah terjumpa Muslimah memakai hijab ketika baru tiba di sini (Taiwan) dan ia secara langsung menunjukkan Islam boleh diterima, tetapi kita perlu menggunakan pendekatan berhemah walaupun saya menyedari jumlah penduduk Taiwan yang beragama Islam tidak ramai.

"Pada pandangan saya, Islam adalah agama yang mudah dan jangan membuat masalah dengan orang lain. Ia adalah kaedah yang digunakan bagi menarik penduduk Taiwan untuk mendekati Islam, cuma kita terpaksa berdepan dengan cabaran yang kuat dalam memberi kefahaman kepada mereka," katanya.

Beliau sendiri pernah berdepan dengan seorang paderi yang mempertikaikan jumlah komuniti Islam di Taiwan kerana terlalu kecil, tetapi ia bukan menjadi persoalan buat dirinya sekiranya seseorang itu memiliki hati yang ikhlas untuk mengembangkan syiar Islam.

Katanya, tiada paksaan untuk seseorang itu untuk memeluk Islam termasuk juga di Taiwan menyebabkan beliau yang sudah berusaha hanya berserah kepada Allah SWT dalam menentukan segalanya.

"Soal sama ada umat Islam ramai di negara ini atau tidak bukan menjadi masalah kerana kita lebih mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Sebab itu, kita mengadakan pelbagai program keagamaan termasuk membaca al-Quran dan ceramah agama pada cuti hujung minggu untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

"Memang tidak dinafikan kita bimbang dengan generasi muda kerana kefahaman mereka mengenai Islam rendah menyebabkan ibu bapa yang prihatin akan menghantar anak-anak ini mengikut kelas agama termasuk bahasa Arab selain menyertai kem musim panas yang dianjurkan.

"Ini kerana kita tidak mahu generasi muda hanyut dan mengabaikan suruhan Allah SWT. Ia antara cabaran besar yang perlu dihadapi kami sebagai imam di negara ini yang menjadi sumber rujukan dalam segala hal berkaitan agama Islam," katanya.

Husein yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak tiga kali berkata, walaupun kerajaan Taiwan tidak memberi sokongan, mereka tidak pernah menghalang komuniti Islam dan memberi kebenaran termasuk masjid untuk menjalankan perniagaan bagi mencari dana.

Beliau bersyukur kerana turut mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak bagi menjalankan aktiviti keagamaan di masjid itu walaupun komuniti Islam di bandar Kaohsiung tidak mencecah lebih 1,000 jemaah dengan kebanyakannya terdiri daripada pekerja Indonesia.

Cuma katanya, mereka perlu berpegang dengan kehidupan saling menghormati terutama dalam melaungkan azan kerana ia hanya dilakukan pada waktu siang sahaja dengan menghalakan pembesar suara ke bahagian dalam ruang masjid.

"Alhamdulillah, dalam usaha mempromosikan keindahan agama Islam, kita perlu mengamalkan cara sederhana kerana kami (komuniti Islam di Taiwan) adalah Muslim yang baik," kata suami kepada Muna Shwe Chen, 52, dan bapa kepada tiga anak berusia 25 hingga 30 tahun termasuk seorang sudah meninggal dunia.

Beliau yang pernah berkunjung ke Malaysia kira-kira 20 tahun lalu berkata, Taiwan adalah negara majoriti penduduk berketurunan Cina, namun pelancong beragama Islam masih boleh menikmati makanan halal walaupun jumlahnya amat terhad kecuali lebih banyak di Taipeh.

Menurutnya, umat Islam yang datang ke Masjid Kaohsiung pasti akan singgah di restoran makanan Indonesia yang terletak bersebelahan, sekali gus memberi kemudahan kepada mereka untuk menjamu selera dan ia secara tidak langsung menjadi daya tarikan.

"Sememangnya umat Islam akan berasa ragu untuk makan di kedai bukan Islam di negara ini bukan disebabkan terlalu memilih sebaliknya mementingkan status halal berikutan makanan akan menjadi darah daging.

"Menerusi CMA, kita mengeluarkan sijil halal kepada mana-mana restoran atau hotel yang mahu menghidangkan makanan kepada orang Islam dengan syarat perlu faham dan mesti mengasingkan bahan mentah dan peralatan termasuk ketika memasak dengan masakan untuk bukan Islam.

"Cuma kita berharap pihak CMA mengambil berat mengenai masalah status makanan halal di Taiwan ini, sekali gus berharap kerajaan Taiwan juga prihatin kerana ia antara usaha untuk menarik pelancong Islam datang ke negara ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:02 AM