UMAR Luqman Sufi dan Ahmad Arif terpilih untuk menjadi imam di Masjid Sofa, London sepanjang Ramadan.
UMAR Luqman Sufi dan Ahmad Arif terpilih untuk menjadi imam di Masjid Sofa, London sepanjang Ramadan.
Muhammad Saufi Hassan


WALAUPUN baru berusia awal 20-an, dua anak muda ini sudah bergelar imam jemputan untuk mengimamkan solat Tarawih selain dijemput mengimarahkan masjid di Kota London, United Kingdom, Ramadan kali ini.

Dua anak muda ini umpama imam eksport yang dihantar ke luar negara bagi mengimarahkan masjid, sekali gus menjadi rujukan jemaah lain berkaitan permasalahan agama terutama dalam memperbetul- kan bacaan ayat suci al-Quran.

Mereka bukan saja bertanggungjawab menjadi imam ketika solat Tarawih, malah turut mengadakan kelas fardu ain untuk komuniti Islam di London.

Imam jemputan ini juga perlu mengharungi cabaran Ramadan berbeza apabila perlu berpuasa lebih daripada 18 jam, seterusnya memberi pengalaman baharu buat pendakwah muda ini.

Tugas mereka juga bukan mudah kerana perlu mengukuhkan paksi Islam selain menganjurkan pelbagai aktiviti bersama masyarakat tempatan termasuk menjadi rujukan jika timbul kekeliruan dalam hukum-hakam agama.

Umar Luqman Sufi Mohammad Shukri, 19, dan Ahmad Arif Adnan, 21, adalah mereka yang terpilih untuk menjadi imam di Masjid Sofa, London sepanjang Ramadan seterusnya Aidilfitri nanti.

Umar Luqman Sufi adalah penuntut Kolej Islam As-Sofa (KIAS) manakala Ahmad Arif alumni kolej berkenaan.

Bagi Umar Luqman Sufi, dia sememangnya memasang impian untuk menjadi imam jemputan terutama di luar negara kerana berkelana di tempat asing sudah pasti memberikan pengalaman berbeza dan cabaran unik yang tentunya akan mematangkan dirinya.

“Ini (terpilih sebagai imam jemputan) anugerah tertinggi kerana pengalaman yang diperoleh di London berbeza jika dibandingkan dengan kita menjadi imam di tempat sendiri.

“Ini rezeki Allah SWT, ramai lagi huffaz al-Quran yang bagus berada di Malaysia namun saya antara yang terpilih untuk mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

AHMAD Arif mengadakan kelas fardu ain  di Masjid Sofa London.
AHMAD Arif mengadakan kelas fardu ain di Masjid Sofa London.

Umar Luqman Sufi berkata, menjalani ibadat puasa di London sangat berbeza jika dibandingkan di Malaysia apabila perlu menyesuaikan dengan faktor masa, suhu yang rendah dan tempoh panjang berpuasa.

“Berpuasa di London mengambil masa hampir 18 jam sebelum berbuka dan ia cabaran serta pengalaman baru buat saya, tambahan pula keadaan suhu yang rendah serta sejuk.

“Jika di Malaysia, tempoh berpuasa hanya mengambil masa kira-kira 13 jam namun berbeza di London apabila kira-kira jam 3 pagi sudah masuk waktu Imsak.

“Selain itu, cabaran lain yang perlu dihadapi adalah cuaca sejuk. Sebagai imam, kita perlu menjaga kesihatan terutama suara kerana dalam suhu rendah ini mudah untuk terkena penyakit termasuk kerongkong,” katanya.

Ahmad Arif pula berkata, setiap imam jemputan ini perlu menjaga niat mereka supaya sentiasa mengingatkan diri yang kehadiran di sesuatu kawasan disulami dengan tanggungjawab besar.

Menurutnya, mereka bukan sekadar menjadi imam solat, sebaliknya perlu mengadakan kelas tertentu dan sentiasa bergaul rapat dengan masyarakat setempat supaya nilai serta paksi Islam itu terus diperkukuhkan.

“Insya-Allah saya serta sahabat saya (Umar Luqman Sufi) akan berhari raya di Kota London tahun ini untuk mengimarahkan masjid ini dengan pelbagai aktiviti yang sudah dirancang.

“Ini juga kali pertama kami berhari raya di perantauan dan jauh daripada keluarga. Insya-Allah demi mengukuhkan syiar Islam itu kami akan pikul sebaik mungkin tanggungjawab itu kerana ia juga sebahagian tugas sebagai pendakwah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:15 AM