Oleh Nor Faizah Mohamed


Bapa borek, anak rintik. Bukan bapa atau ibu saja yang tampil bergaya, si kecil mahu turut sama menyarungkan helaian yang padan dengan usia.

Sememangnya fesyen adalah hak semua tanpa mengira usia, warna kulit dan latar belakang seseorang.

Justeru, Snails (sebelum ini dikenali Snails Original) hadir memeriahkan dunia fesyen dengan himpunan menarik untuk kanak-kanak yang menyerlahkan lagak gaya yang sama seakan-akan si bapa.

Hasil inspirasi daripada kehidupan keluarga moden, koleksi ini disifatkan praktikal dan mudah untuk disuai padan dengan helaian sedia ada.

Titipan stail kasual pula melatari keseluruhan rekaan yang menjurus kepada pemakaian selesa kala melakukan aktiviti riadah bersama keluarga.

Padanan polos pada kemeja-T menonjolkan gaya kemas nan santai ketika di luar rumah.

Palet warnanya pula terarah kepada serakan rona asas antaranya putih, biru dan kuning air yang menggambarkan aspek semula jadi sepanjang melakukan aktiviti.

Tidak lengkap penampilan si bapa tanpa menyertakan celana pendek, khaki dan jean, selain kemeja bercorak petak dalam nuansa rona utama.

Tumpuan bagaimanapun terarah kepada penggunaan fabrik kapas yang membuatkan si pemakai tampil lebih selesa.

Selain itu, Snails tidak ketinggalan menyertakan jaket bomber bagi mereka yang inginkan gaya lebih urban.

Untuk si kecil, seluar denim dan khaki, di samping kemeja kasual nyata menarik serta selesa digayakan.

Pilihan rona jingga, hijau, merah, kuning dan merah tidak terhad pada kemeja-T, namun banyak dihamparkan pada helaian 'overall' juga seluar panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:00 AM