ROSMAN bersyukur jenazah Allahyarham (gambar kecil) hanya mengalami kesan lebam dan luka sahaja. FOTO Muhaizan Yahya
ROSMAN bersyukur jenazah Allahyarham (gambar kecil) hanya mengalami kesan lebam dan luka sahaja. FOTO Muhaizan Yahya
Muhammad Apendy Issahak


KELUARGA Allahyarham Nur Fitrah Rosman, 24, mangsa kemalangan maut di Kilometer 446 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Rawang, semalam bersyukur jasad mangsa dapat disemadikan dalam keadaan sempurna tanpa kecederaan teruk.

Bapanya, Rosman Sahim, 52, berkata jika dilihat keadaan Perodua Alza milik anaknya selepas kemalangan, pasti ramai menyangka semua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur kerana jenazah anaknya hanya mengalami kesan lebam dan luka sahaja.

“Saya reda dengan ketentuan ini. Arwah seorang anak yang baik dan sangat menyayangi adik-adiknya serta tidak pernah menyakiti hati orang lain.

“Semasa arwah serta dua rakannya bergerak dari Ipoh untuk ke Gombak, saya tiada di rumah kerana bekerja.

“Namun dia (Nur Fitrah) sempat menghantar rakaman suara dalam kumpulan Whatsapp keluarga mengucapkan selamat tinggal, yang jika kini didengari kembali seolah-olah arwah tahu akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengku Hussin Hujung, Manjoi, Ipoh, hari ini.

Katanya, jenazah anak kedua daripada lapan beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar, jam 11 pagi hari ini.

Menceritakan mengenai keperibadian anak perempuan sulungnya itu, Rosman dalam nada sebak mengatakan arwah antara anak harapan bukan sahaja pada dirinya tetapi enam adik-adiknya yang masih kecil dan sangat rapat dengannya.

“Dia tempat adik-adiknya bermanja dan dia sangat sayang serta pentingkan keluarga, tetapi takdir Tuhan lebih menyayanginya dan dia pergi dulu,” katanya.

Katanya, arwah yang bekerja di sebuah bank memang merancang pergi ke majlis perkahwinan rakan ketika belajar di Politeknik Ungku Omar bersama dua lagi rakan lain dan akan bermalam sehari di ibu negara.

“Saya difahamkan arwah yang memandu kenderaan manakala rakan perempuannya duduk di bahagian penumpang hadapan manakala rakan lelaki di bahagian belakang.

“Kami ahli keluarga reda dengan pemergian ini dan ucapkan terima kasih kepada semua kenalan arwah yang hadir pada pengebumiannya hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

Panggilan video terakhir buat ibu...

[UPDATE] Dengar bunyi dentuman kuat

4 maut nahas 6 kenderaan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:20 PM