AZHAR (kiri) menyampaikan dokumen faedah kepada bapa Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin, Mat Nazir. FOTO PERKESO
AZHAR (kiri) menyampaikan dokumen faedah kepada bapa Allahyarham Muhammad Nazirul Mubin, Mat Nazir. FOTO PERKESO
Hajar Umira Md Zaki

Shah Alam: Luluh hati ibu bapa ini apabila anak yang dahulunya sihat dan manja kini tiada lagi datang meminta pelukan kasih selepas tragedi hitam meragut nyawanya.

Muhammad Nazirul Mubin Mat Nazir, 21, maut selepas motosikalnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan untuk membuat penghantaran makanan, 11 Ogos lalu.

Bapanya, Mat Nazir Abu Hassan, 52, berkata, kehidupan mereka sekeluarga kini kelam setelah tiada lagi anak yang sentiasa menjadi penyeri keluarga.

"Masih kukuh dalam ingatan saya dua hari sebelum arwah meninggalkan kami, dia sempat berpatah balik semasa dalam perjalanan untuk pergi bekerja dan meminta maaf kepada saya dan isteri, Norlis Hussin, 48.

"Namun siapa sangka, itu kali terakhir kami bersalaman dan sungguh saya tidak menyangka dia akan pergi buat selamanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru 2, Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Sifat pemurah anak keempat daripada tujuh beradik itu turut kekal dalam ingatan keluarga dan arwah sentiasa membeli barangan dapur bagi membantu bapa yang bekerja sebagai tukang cuci.

Di samping bekerja sebagai penghantar makanan, Muhammad Nazirul semasa hayatnya juga mencari rezeki dengan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang.

"Dia sering membantu mencari pendapatan untuk kami sekeluarga kerana masih mempunyai tiga adik untuk ditanggung.

"Malah, arwah Muhammad Nazirul juga ada membuat beberapa tabung untuk pelajaran adik-adiknya bagi keperluan masa akan datang," katanya.

Mat Nazir berkata, masih segar dalam ingatannya apabila arwah membelikan makanan untuk adik-adiknya namun dia hanya tersenyum dan seronok melihat adik yang gembira tanpa menyentuh juadah dibeli.

"Saya masih tidak dapat melihat bajunya kerana saya akan terkenangkan arwah.

"Bagi saya, dia seorang anak dan abang yang cukup baik dan sangat disayangi," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri Perkeso Azhar Md Nadzri berkata, pihaknya membuat semakan mengenai Allahyarham Muhammad Nazirul selepas mengetahui mengenai kemalangan menimpa dirinya.

"Kami mendapati Allahyarham Muhammad Nazirul mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) bagi pekerjaan sepenuh masa di kilang dan SKSPS Perkeso menerusi Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung oleh platform penyedia perkhidmatan makanan Grabfood.

"Allahyarham meninggal dunia ketika berada di bawah tempoh perlindungan dan oleh kerana arwah masih bujang, ibu bapa dan adik beradik menerima faedah carumannya.

"Keluarganya menerima dua faedah Perkeso iaitu Faedah Pencen Penakat dan Faedah Orang Tanggungan seumur hidup ibu dan bapa serta sehingga adik beradik mencecah usia 21 tahun," katanya ketika mengunjungi rumah Mat Nazir, semalam.

Selain itu, katanya, waris arwah turut menerima bantuan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 7:05 PM