LYNN tinggalkan sementara dunia lakonan untuk beri tumpuan pada rumah tangga.
LYNN tinggalkan sementara dunia lakonan untuk beri tumpuan pada rumah tangga.
Nor Akmar Samudin


Bagi memastikan rumah tangga dan anak-anak terurus, Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar atau Lynn, 44, dengan rela hati melupakan seketika dunia lakonan sehinggalah baru-baru ini dia muncul semula dalam filem arahan Osman Ali berjudul Pinjamkan Hatiku.

Menurut pelakon berbakat besar ini, cintanya terhadap bidang yang pernah memperkenalkan namanya dalam industri hiburan tanah air tidak pernah surut.

“Sepuluh tahun lalu anak-anak kecil lagi dan sekarang barulah saya boleh berlakon tetapi bukan selalu, bergantung kepada kelapangan, skrip dan watak.

“Bezanya jika 10 tahun lalu saya masih boleh pegang watak gadis, kini saya diberikan watak ibu kepada anak remaja. Dalam filem Pinjamkan Hatiku, saya jadi ibu kepada Ayda Jebat.

“Tidak ada masalah bawa peranan ini kerana saya pun bukan muda lagi. Filem ini baru sahaja selesai penggambaran dan akan ditayangkan tahun depan,” katanya.

Lynn ditemui bersama adiknya, Sharifah Shahirah, 42, ketika pelancaran produk kecantikan yang melantik mereka sebagai duta.

Ujar Lynn lagi, tawaran berlakon memang banyak dan dia perlu memilih skrip yang sesuai dengan statusnya kini.

“Suami tidak menghalang saya muncul sekali-sekala dalam industri tetapi dia berpesan supaya jaga penampilan,” katanya.

Sementara itu, Sharifah Shahirah atau Sheera pula semakin jarang berlakon kerana tidak berpuas hati dengan bayaran ditawarkan.

“Berada di lokasi sehari suntuk tidak sepadan dengan bayaran yang dapat, sikit sangat.

“Berlakon bukan sekadar minat saya lagi tetapi ia adalah satu pekerjaan.

“Saya bukannya pelakon baru dan saya perlu bekerja untuk menyara keluarga. Selain itu, watak yang ditawarkan kepada saya hampir sama saja.

“Jika anak-anak sudah besar dan saya boleh relaks, mungkin saya berlakon untuk mengisi masa lapang sahaja,” katanya.

Berkongsi perkemba­ngan terkininya, Sheera hamil anak keenam dan kandungannya baru berusia tiga bulan.

Berbeza kehamilan terdahulu, kali ini dia cepat penat dan mudah marah.

“Barangkali faktor usia membuatkan saya cepat letih, mengantuk dan mudah ‘naik angin’. Apapun saya bersyukur kerana Allah SWT masih memberikan rezeki (anak) kepada saya dan suami (Ijoy). Harap dikurniakan anak lelaki kerana kami ada ramai anak perempuan,” katanya.

Meskipun sedang hamil, Sheera masih aktif mengacara malah dia dan suami mengusahakn kedai makan di Klang Gate, Ulu Klang yang diberi nama Enjoy’s Corner.

Dua bulan lalu, Sheera dan bekas rakan sekolahnya, Siti Aida Ashari membuka agensi pelancongan, Enjoy’s Travel & Tours di Putrajaya.

“Saya tak minat berniaga produk kecantikan seperti artis lain dan apabila Aida mencadang–kan kami buka agensi pelancongan, saya terus bersetuju.

“Selain menyediakan pakej percutian di luar negara, kami juga ada pakej umrah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:23 PM