BOON Heong (kiri) dan Kien Keat muncul naib juara GP Emas Terbuka Thailand.
BOON Heong (kiri) dan Kien Keat muncul naib juara GP Emas Terbuka Thailand.

Kuala Lumpur: “Mereka mempunyai kualiti lebih baik,” itulah pandangan legenda beregu lelaki negara, Yap Kim Hock mengenai prestasi gandingan veteran Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang muncul naib juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand semalam.

Menurutnya, walaupun Kien Keat pernah bersara dalam satu tempoh dan kembali semula, tetapi masih mempunyai kualiti ketika kembali bergandingan bersama Boon Heong.

“Walaupun sudah berusia 30 tahun (Kien Keat), tapi mereka mempunyai kualiti. Ini akan memberikan tekanan kepada pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terutama gandingan utama Goh V Shem-Tan Wee Kiong,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, Kien Keat-Boon Heong sekarang bergerak secara profesional dan tidak lagi berada di bawah naungan BAM, tetapi berjaya mara ke perlawanan akhir seolah-olah memberi isyarat mereka masih lagi mampu memberi saingan di kejohanan antarabangsa.

“Dapat memasuki perlawanan akhir satu petanda bagus, ia mewujudkan satu saingan sihat kepada pemain BAM. Mereka (pemain BAM) sekarang ini belum cukup bagus,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.

Kien Keat-Boon Heong gagal meraih gelaran ketiga mereka tahun ini apabila tumpas kepada gandingan muda Indonesia, Wahyu Nayaka Arya Pankaryanira 22-20, 21-23, 16-20 pada perlawanan akhir di Bangkok, semalam.

Menurut Kien Keat, kekalahan itu membuka mata mereka bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menghadapi kejohanan seterusnya terutama dalam misi memperbaiki kedudukan ranking dunia bagi layak ke Olimpik 2016.

“Kami tewas kerana masih banyak lagi perlu diperbaiki bagi mengatasi situasi dalam gelanggang, tapi ia tidak melunturkan semangat kami,” katanya yang sebelum ini berjaya muncul juara pada Cabaran Antarabangsa Sri Lanka (Jun) dan Russia (Julai).

Sementara itu, pemain berusia 15 tahun, Goh Jin Wei muncul juara dalam perseorangan wanita Siri Antarabangsa Vietnam selepas mengalahkan Chen Su Yu dari Taiwan 21-9, 21-13, namun beregu campuran, Tan Kian Meng-Peck Yen Wei tumpas kepada gandingan Indonesia, Rian Swastedian-Masita Mahmudin 13-21, 21-19, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:07 AM