BANYAK keluarga miliki jumlah anak di luar kemampuan kewangan.
BANYAK keluarga miliki jumlah anak di luar kemampuan kewangan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


“Empat anak sudah cukup,” kata wanita Afghanistan muda ketika membelek sekotak pil perancang kehamilan.

Dengan kebenaran suaminya, wanita bertudung litup itu mengakui mahu mengetahui lebih lanjut mengenai perancangan kehamilan melalui inisiatif antara badan bukan kerajaan (NGO) Marie Stopes International (MSI) dan pakar agama terkemuka.

Bas mini badan kebajikan itu diletakkan di kawasan perumahan penduduk miskin di bandar Mazar-i-Sharif, di depan sekolah agama dan menawarkan khidmat nasihat percuma mengenai perancangan keluarga.

Ibu muda itu yang berkongsi dilema sama dengan wanita lain ditunjukkan satu bakul yang mengandungi alat pencegahan kehamilan dalam rahim (IUD), pil perancangan, implan dan kondom.

Mekanisma setiap kaedah perancangan kehamilan itu diterangkan dengan teliti supaya ia mudah difahami. Selepas mendengar penerangan itu, dia memilih untuk mengambil pil perancang dan membayar 20 Afghanis untuk satu kotak.

“Saya sudah berbincang dengan suami dan dia bersetuju. Tanpa persetujuannya, tidak mungkin saya boleh datang ke sini dan membeli (pil perancang),” jelasnya.

Maklumat mengenai perancangan keluarga dan akses kepada kaedah perancang kehamilan di Afghanistan amat terhad dan tersekat dek konflik yang melanda negara itu selain faktor kemiskinan dan kurangnya peluang pendidikan.

Bahkan larangan beberapa pakar agama di negara itu yang menjatuhkan hukum ‘haram’ ke atas perancangan keluarga menyebabkan maklumat mengenainya tidak sampai kepada penduduk.

“Kami akui, memang menghadapi masalah di Afghanistan. Masalah paling besar mengenai pencegahan kehamilan ialah tiadanya maklumat mengenai perancangan keluarga,” kata pengurus program MSI di wilayah Balkh, Dr Rahmatudine Bashardost.

“Masalah buta huruf juga jadi penghalang penyebaran ilmu. Ramai penduduk tidak boleh membaca, jadi maklumat tidak sampai kepada mereka,” sambungnya.

Menurut Bashardost, walaupun banyak badan kebajikan kini boleh menyampaikan maklumat dan mendidik penduduk di beberapa bandar, mereka masih berdepan halangan besar untuk bertemu penduduk khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.

Afghanistan mencacatkan kadar kematian kanak-kanak bawah umur lima tahun yang kedua tertinggi di dunia apabila ribuan kanak-kanaknya meninggal dunia setiap tahun. Berdasarkan data terbaru Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dianggarkan setiap dua jam, seorang wanita meninggal dunia akibat komplikasi yang ada kaitan dengan kehamilan dan kelahiran.

Kebanyakan keluarga di Afghanistan mempunyai jumlah anak di luar kemampuan kewangan mereka dan wanita pula hamil tidak lama selepas melahirkan anak. Ini membuatkan badan mereka tidak mempunyai cukup masa untuk benar-benar pulih dan ia boleh menjejaskan kesihatan si ibu dan anak.

Di Afghanistan, ramai pakar agama memberi nasihat mengenai isu sosial - biasanya melalui bapa untuk disampaikan kepada keluarga masing-masing. Jadi untuk memudahkan penerangan, MSI bekerjasama dengan pakar agama ini bagi membantu mendidik masyarakat.

Perlu izin suami

Bagaimanapun, untuk mendapatkan kerjasama pakar agama itu bukan mudah, kata Bashardost.

“Kami berdepan dengan pakar agama yang mengatakan dengan tegas apa yang kami lakukan ini adalah haram. Selepas berkali-kali berdebat dan berhujah, kami minta mereka tunjukkan bukti yang mengatakan perancangan keluarga itu diharamkan dalam Islam.

“Jika ia haram, tentu ada dokumen yang menyatakannya tetapi ia tidak wujud. Sebaliknya ada dokumen yang menunjukkan ia dibolehkan,” katanya.

Mullah Kamalullah Hamid, pakar agama Ahli Sunah Waljamaah berkata, dia tidak menghalang hak merancang keluarga.

“Jika ibu bapa berfikir mereka tidak mampu menanggung anak seterusnya, itu kita terima,” katanya sambil memberi amaran tegas bahawa kaedah pencegahan kehamilan bukanlah satu pilihan jika suami isteri hanya mahu berseronok dan tidak mahukan anak langsung. Ini kerana antara tujuan perkahwinan itu adalah untuk melahirkan zuriat dan menyambung keturunan.

Jadi, bas MSI yang diletakkan di depan madrasah itu bukan secara kebetulan. Ketua rombongan, Batul Mahadiyar yang mendapat latihan dari MSI bertanggungjawab memberi penerangan dan khidmat nasihat kepada wanita cara merancang keluarga serta menjarakkan kehamilan menurut Islam.

“Ada ayat al-Quran yang menyebut mengenai penyusuan badan sehingga anak berusia dua tahun,” katanya. Penyusuan badan boleh bertindak sebagai kaedah perancangan kehamilan semula jadi apabila hormon yang bertindak untuk menghasilkan susu juga boleh menyekat hormon reproduksi bagi melengahkan kesuburan wanita kembali seperti asal.

Dalam satu kajian yang dijalankan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika mendapati wanita yang kembali hamil dalam tempoh kurang 18 bulan selepas melahirkan anak berisiko untuk mengalami pelbagai komplikasi pada kesihatan diri sendiri atau bayi mereka.

Di Afghanistan, kekangan kewangan kerana mempunyai terlalu ramai anak juga memberi impak besar.

“Mempunyai terlalu ramai anak juga boleh mendatangkan masalah dalam hidup. Sekarang ni terlalu ramai orang yang menjadi pencuri,” kata Mahadiyar.

Penasihat yang mempunyai dua anak ini menambah, perancangan keluarga yang baik membolehkan ibu bapa memberi lebih tumpuan untuk membesarkan setiap anak.

Menurut data Bank Dunia, purata kadar kesuburan ialah 5.1 kelahiran bagi setiap wanita di Afghanistan berbanding hanya 2 di Perancis dan 3.6 di Pakistan.

Walaupun MSI mempunyai banyak cawangan di seluruh negara, ia masih tidak dapat menembusi kemarahan Taliban.

“Perubatan tiada kaitan langsung dengan politik. Jika seseorang doktor mahu memberi rawatan kepada masyarakat, dia tidak ada musuh,” kata Bashardost.

Di sebalik perkembangan positif terhadap hak wanita sejak kejatuhan Taliban pada 2001, lelaki tetap mendominasi keluarga di Afghanistan apabila mereka yang menentukan hala tuju atau perjalanan hidup keluarga masing-masing.

Bagi ibu muda yang mempunyai empat anak, tidak mungkin dia dapat membeli pil perancang keluarga tanpa keizinan suaminya.

Namun, Bashardost sudah menemukan jalan terbaik untuk memujuk lelaki - dengan mendekati ibu mereka dan juga pakar agama.

“Kami ada program khas untuk ibu mentua bagi menerangkan pelbagai manfaat perancangan keluarga,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:01 AM