PENGARAH Pemasaran, Polisi dan Komunikasi MSD David Lin bersama Dr Jamiyah melancarkan aplikasi Pill Insight baru-baru ini.
PENGARAH Pemasaran, Polisi dan Komunikasi MSD David Lin bersama Dr Jamiyah melancarkan aplikasi Pill Insight baru-baru ini.
PILL Insight bantu wanita rancang kehamilan - Dr Jamiyah.
PILL Insight bantu wanita rancang kehamilan - Dr Jamiyah.
APLIKASI Pill Insight jadi rujukan wanita yang mengambil pil perancang.
APLIKASI Pill Insight jadi rujukan wanita yang mengambil pil perancang.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Perancangan keluarga bermaksud melahirkan anak dalam tempoh yang tidak terlalu awal, tidak terlalu lambat dan tidak terlalu dekat seterusnya menepis istilah kelahiran bayi yang tidak dirancang atau ‘tidak sengaja’.

Perancang keluarga pula adalah kaedah yang diamalkan isteri ataupun suami yang belum bersedia untuk menimang cahaya mata manakala bagi mereka yang sudah menimang cahaya mata ingin pula menjarakkan kelahiran anak.

Objektif utama menggunakan kaedah merancang keluarga ialah untuk memastikan kesihatan ibu pulih sepenuhnya sebelum kelahiran seterusnya. Menerusi kaedah perancangan keluarga, ia menjadikan pengurusan kekeluargaan lebih baik dan menyumbang kepada mutu kehidupan yang positif. Ia juga untuk memastikan anak baru lahir mendapat penjagaan dan kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa.

Ada pelbagai cara merancang keluarga termasuk kaedah semula jadi atau menggunakan perubatan moden. Namun kaedah moden mencetuskan pelbagai mitos dalam kalangan ibu yang sudah menggunakannya atau baru saja bercadang mengamalkannya seperti pertambahan berat badan, jerawat dan haid yang tidak teratur. Apa yang pasti setiap perubahan ini hanya bersifat sementara dan bergantung kepada sistem badan seseorang.

Mengenai perancangan secara semula jadi pula ada yang berkesan ada pula tidak menjadi. Ini mengingatkan kisah rakan penulis mengenai kakaknya yang mengamalkan kaedah perancangan semula jadi untuk anak kedua malangnya belum pun anak berusia enam bulan dia sudah hamil semula. Namun, dia tidak mahu menggunakan kaedah perancangan moden disebabkan suami tidak bersetuju, akibatnya ‘bersusunlah’ anaknya sehinggakan belum pun usianya mencapai 40 tahun sudah memiliki 10 zuriat.

Tidak dinafikan setiap pasangan yang berkahwin mahukan cahaya mata kerana mampu mengeratkan ikatan kasih sayang suami isteri. Namun, jika kelahiran berlaku terlalu rapat boleh mengundang pelbagai masalah. Tanggungjawab merancang keluarga pula terletak kepada suami dan isteri. Perkara ini perlu dibincang bersama agar ia tidak mendatangkan masalah yang boleh menjejaskan perhubungan mereka.

Menurut Konsultan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya(PPUM) Prof Dr Jamiyah Hassan, ketiadaan perancangan keluarga yang baik akan mengundang bukan saja pada aspek kesihatan wanita, tetapi juga psikologi dan bebanan kewangan kepada pasangan suami isteri.

“Islam sendiri mengatakan keperluan merancang keluarga dan penggunaan kontraseptif dibenarkan dalam konteks tertentu bertujuan untuk menjarakkan anak. Ini demi keselamatan dan kesihatan ibu serta merancang kelahiran apabila pasangan sudah cukup bersedia dari segi kewangan, fizikal serta mental untuk menyambut cahaya mata,” katanya ketika ditemui pada sesi perkongsian Pemahaman Tentang Kontraseptif dan Cabaran di Malaysia, pada majlis pelancaran aplikasi mudah alih Pill Insight di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya lagi, kaedah merancang keluarga boleh diamalkan bagi pasangan yang baru berkahwin dan belum bersedia untuk menimang cahaya mata. Begitu juga pasangan yang sudah memiliki anak dan ingin menjarakkan kehamilan sebelum mereka benar-benar bersedia dari segi kesihatan, mental dan kewangan.

Bagi individu yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak digalakkan mempunyai kelahiran yang banyak seperti penyakit tekanan darah tinggi, jantung serta buah pinggang perlu berjumpa doktor untuk berbincang mengenai kaedah perancang keluarga.

Meskipun Malaysia sudah boleh dianggap sebagai negara membangun dan banyak menempa kejayaan khususnya dalam dunia perubatan, masih ramai dalam kalangan rakyat yang kurang pengetahuan kaedah kontraseptif adalah efektif dan selamat dalam merancang kehamilan.

Statistik menunjukkan wanita Malaysia hanya mempunyai kadar kontraseptif sebanyak 55.6 peratus iaitu lebih rendah dari negara jiran, Thailand dan Singapura yang mencatatkan peratusan sebanyak 79.4 peratus dan 65.7 peratus.

Kekurangan pengetahuan dan kesedaran me­ngenai kontraseptif dalam kalangan wanita muda amat membimbangkan kerana boleh mewujudkan fenomena baru yang menjurus kepada pengguguran anak akibat kehamilan tanpa dirancang yang seterusnya meletakkan kesihatan wanita dalam risiko.

Menurut kajian 596,000 wanita mati pada setiap tahun di seluruh dunia akibat komplikasi melahirkan anak dan Malaysia sendiri mencatatkan 44 peratus kematian pada setiap 100,000 kelahiran.

Dr Jamiyah berkata, dari sudut perubatan kontraseptif adalah kaedah pencegahan persenyawaan telur oleh sperma atau menahan telur disenyawakan pada lapisan rahim bagi mengelakkan berlakunya kehamilan. Namun, terdapat pelbagai salah anggap terutama pada pasangan yang baru berkahwin mengenai kaedah mencegah kehamilan.

“Mereka sering dimomokkan dengan pelbagai cerita yang bercanggah dengan fakta sebenar. Antaranya kenaikan berat badan melampau akibat mengambil pil perancang, jerawat, haid tidak teratur dan sukar mendapat cahaya mata, sedangkan ia hanya mitos semata-mata,” katanya

Dalam perubatan moden kini terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan bagi mengelakkan kehamilan seperti kontraseptif halangan atau kontraseptif hormon yang dipersetujui pakar perubatan di seluruh dunia. Ia terbukti berkesan dan selamat. Namun, setiap pasangan mempunyai kaedah berbeza bergantung kepada kesesuaian badan masing-masing.

Sebagai pengamal perubatan, beliau menyarankan setiap pasangan patut mengambil tahu kaedah perancang kehamilan dan mempunyai ilmu mengenainya. Antaranya cara moden kontraseptif ialah:

1. Pil perancang

Ia mengandungi estrogen dan progestogen. Pil perancang keluarga dimakan pada setiap hari bermula dari hari pertama kitaran haid sehingga hari ke-21.

Ini diikuti dengan tujuh hari rehat. Pada waktu ini perdarahan akan berlaku dan pil dari paket baru perlu dimulakan selepas tujuh hari walaupun perdarahan mungkin belum habis. Jika diikuti dengan betul, keberkesanan menggunakan kaedah ini untuk mengelakkan kelahiran amat tinggi iaitu 99.9 peratus.

Ada pil yang mengandungi progestogen saja. Pil jenis ini mengelakkan kandungan dengan menyebabkan dinding rahim nipis dan lendir yang pekat. Ia boleh juga mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari tetapi ia tidak konsisten dan memerlukan dos yang tinggi. Hampir 50 peratus wanita menggunakan kaedah ini boleh mengeluarkan telur dari kilang ovari.

Ini kerana ia perlu dimakan dengan betul dan mengikut masa yang ditetapkan. Jika masa makan berubah-ubah melebihi tiga jam, ia boleh menyebabkan wanita itu hamil. Selain mengelakkan kandungan, pil perancang keluarga mempunyai kesan sampingan yang positif seperti mengurangkan kadar perdarahan haid serta mengurangkan penyakit anemia atau kurang darah dan mengurangkan kesakitan sewaktu haid. Ia juga membuat kulit menjadi lebih cantik dan mengurangkan perasaan tidak menentu akibat sindrom prahaid.

2. Suntikan

Suntikan menggunakan hormon progestogen, disuntik setiap dua bulan bergantung kepada hormon yang digunakan. Disebabkan dosnya yang tinggi, ia mengelakkan pengeluaran telur dari kilang ovari di samping mengakibatkan lendir yang pekat. Wanita yang menggunakan kaedah ini boleh mengalami perdarahan yang tidak menentu.

3. Alat dalam rahim

Kaedah popular dan digunakan sejak 1960-an lagi. Ia perlu dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor terlatih dan tidak mendatangkan banyak masalah kepada pengguna. Selepas dimasukkan, alat ini boleh ‘disimpan’ selama tiga hingga lima tahun bergantung kepada jenis yang digunakan.

Keberkesanannya untuk mengelakkan kandungan adalah lebih kurang 98 peratus. Ada alat dalam rahim yang diserapkan dengan hormon progestogen. Ini meninggikan keberkesanannya kepada 99.9 peratus untuk mengelakkan kehamilan. Di samping itu, ia boleh mengurangkan perdarahan haid dan hampir 80 peratus wanita tidak mengalami perdarahan selepas tiga bulan penggunaannya.

4. Kaedah halangan

Kaedah halangan yang paling popular adalah kondom. Kaedah ini tidak begitu baik kerana keberkesanannya hanyalah antara 60 hingga 80 peratus jika digunakan dengan betul. Ia salah satu cara yang berkesan untuk mengelakkan penyakit kelamin dan HIV.

5. Implan

Implan adalah alat perancang yang mengandungi hormon progestogen yang dimasukkan ke bawah kulit di bahagian dalam lengan. Ia mengelakkan kandungan dengan menghalang pengeluaran telur dari kilang ovari, boleh dipakai selama tiga hingga lima tahun. Keberkesanannya mencecah 99 peratus.

6. Sterilisasi atau pemandulan

Sterilisasi boleh dilakukan kepada wanita dan juga lelaki. Kaedah ini adalah kekal. Saluran fallopio wanita diikat atau dipotong bagi mengelakkan perjalanan telur ataupun sperma dan seterusnya menghindarkan persenyawaan. Vasektomi adalah kaedah sterilisasi kekal untuk lelaki. Ia memerlukan pembedahan kecil apabila saluran vas deferens dipotong sedikit dan diikat.

Cara mudah urus pil perancang

Menyedari kebanyakan wanita Malaysia celik teknologi dan sering menggunakan gajet untuk mendapatkan apa saja maklumat, MSD salah sebuah syarikat kesihatan unggul di Malaysia melancarkan Pill Insight satu aplikasi mudah alih terkini yang mesra pengguna bagi membantu wanita memantau jadual pemakanan pil perancang mereka.

Pill Insight yang dihasilkan di Malaysia adalah aplikasi mudah alih yang menyediakan maklumat mengenai pencegahan kehamilan. Menurut Pengarah Urusan MSD Chris Tan, aplikasi mudah alih Pill Insight membantu wanita memahami pelbagai kaedah pencegahan kehamilan dengan lebih baik.

“Setiap maklumat disampaikan dalam format yang mudah difahami merangkumi penjelasan pelbagai jenis kaedah pencegah kehamilan serta kebaikan dan keburukan setiap satunya.

“Antara kaedah perancang yang ada dalam aplikasi ini ialah hormon, sekatan, kecemasan, alat dalam rahim dan pemandulan. Pengguna boleh pergi di setiap ruang untuk mengetahui selanjutnya. Terdapat juga ruangan yang menerangkan kepercayaan karut dan fakta mengenai pil perancang,” katanya.

Selain itu bagi memenuhi kehendak semua lingkungan usia, ruangan soalan yang sering ditanya ditambah untuk menjawab soalan asas mengenai pencegahan kehamilan. Walaupun aplikasi ini bermatlamat mendidik namun wanita digalakkan berbincang dengan doktor atau ahli farmasi kerana mereka orang yang paling baik menilai kesesuaian setiap kaedah perancangan untuk seseorang.

“Dalam hal ini wanita di Malaysia perlu membuat keputusan berdasarkan maklumat dengan merujuk sumber yang boleh dipercayai dan berbincang dengan doktor mengenai pencegahan kehamilan. Aplikasi Pill Insight memperkasakan wanita dengan maklumat mengenai kaedah perancangan keluarga di hujung jari mereka,” kata Chris.

Bagi menjayakan promosi ini MSD akan memulakan pelbagai aktiviti kempen turun padang memperkenalkan Pil Insight termasuk membabitkan media sosial dan pemasaran digital serta mengedarkan risalah maklumat di kedai farmasi sekitar bandar utama seperti Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Lembah Klang dan Johor Bahru,” katanya. Untuk maklumat lanjut boleh melayari http://www.msd-malaysia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 5:02 AM