Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Bekas Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa dipecat keahlian parti kerana melanggar disiplin berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok berkata, pihaknya sudah meneliti aduan salah laku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu dan mempertimbangkan kes itu dari semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti serta perjuangannya.

"Berdasarkan peruntukan Fasal 82(6)(d) Perlembagaan PAS (Pindaan 2011), Jawatankuasa Tatatertib PAS membuat keputusan mengambil tindakan tatatertib terhadap Datuk Husam Haji Musa iaitu memecat daripada menjadi ahli PAS berkuat kuasa mulai hari keputusan iaitu 23 April 2016.

"Jawatankuasa yang bersidang pada tarikh itu mendapati beliau melakukan tindakan dan perbuatan bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan PAS maka keputusan itu dicapai sebulat suara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Keputusan ini menjadikan kerusi ADUN PAS di DUN Kelantan sebanyak 31 berbanding 32 sebelum ini. Satu lagi kerusi milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Barisan Nasional 12 kerusi.

Husam sebelum ini aktif mengkritik secara terbuka kepimpinan dan dasar PAS di atas pentas Parti Amanah Negara (PAN) bersama DAP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 12:40 PM