HUSAM. FOTO Arkib NSTP
HUSAM. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail dan Nor Fazlina Abdul Rahim


PENGERUSI pakatan pembangkang Kelantan, Husam Musa, sah bertanding merebut kerusi panas Parlimen Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pemilihan Husam itu menyaksikan beliau akan bertembung dengan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dan calon Barisan Nasional (BN) Fikran Hamshi Mohamad Fatmi.

Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) turut mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor.

Ia diumumkan pada majlis pengumuman calon pakatan pembangkang di Kadok, Kota Bharu, malam tadi.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman akan bertanding di kerusi DUN Kota Lama.

Bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan Azran Deraman akan berdepan bekas bosnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Parlimen Jeli.

Kerusi Parlimen Pasir Puteh turut menyaksikan pertandingan sengit apabila Pengerusi PPBM negeri Datuk Kamarudin Md Nor bakal berdepan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 12:38 AM