SISTEM saluran air abad ke-16 ini terletak di Mexico
SISTEM saluran air abad ke-16 ini terletak di Mexico
Susunan Suliati Asri


Tapak Warisan Dunia UNESCO ialah pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diberikan pada tempat yang menyimpan salah satu nilai pendidikan, sains atau kebudayaan.

Saban tahun, beberapa tempat di seluruh dunia diberikan pengiktirafan sebagai tapak UNESCO.

Terbaru, 24 tapak yang ditulis dalam Bonn Senarai Warisan Dunia UNESCO yang akan diumumkan pada mesyuarat yang akan diadakan di Istanbul, Turki dari 10 hingga 20 Julai depan.

Antara lima senarai dalam Bonn itu ialah:

1. Kawasan Bersejarah Baekje, Korea Selatan.

Terletak di kawasan barat pergunungan Korea, kawasan ini terdiri daripada lapan tapak arkeologi sejak tahun 475 hingga 600 Sebelum Masihi (SM) termasuk Kubu Gongsanseong dan Makam Diraja Songsan-ri, Ungjin (kini Gongju), Kubu Busosanseong, Bangunan Pentadbiran Gwanbuk-ri, Kuil Jeongnimsa, Makam Diraja Neungsan-ri dan dinding bandar Neseong (kini Buyeo), Istana Diraja Wanggung-ri dan Kuil Mireuksa di Iksan.

Kawasan ini mewakili tempoh pemerintahan Kerajaan Baekje, satu daripada tiga kerajaan terawal di Semenanjung Korea (18 SM hingga 660 M).

2. Aqueduct of Padre Tembleque Hydraulic System, Mexico

Saluran air abad ke-16 ini terletak di antara Mexico dan Hidalgo di Dataran Tinggi tengah Mexico. Sistem terusan warisan ini merangkumi kawasan tadahan air, mata air, terusan, pengaliran tangki dan jambatan arked.

Kawasan ini menggabungkan arked tunggal tertinggi yang pernah dibina dalam saluran air.

3. Rjukan-Tapak Warisan Notodden, Norway

Terletak di dalam landskap dramatik gunung, air terjun dan lembah sungai, ia terdiri daripada loji kuasa hidroelektrik, talian penghantar, kilang, sistem pengangkutan dan bandar.

Ia dibina untuk memenuhi permintaan dunia Barat yang makin meningkat untuk pengeluaran pertanian pada awal abad ke-20.

Kawasan Rjukan-Notodden memiliki penginapan pekerja, kereta api dan feri ke pelabuhan untuk membawa baja.

Ia menjadi kombinasi aset luar biasa dan menjadi contoh kepada industri baru seluruh dunia pada masa itu.

4. Fray Bentos Industrial Landscape, Uruguay

Terletak di barat bandar Fray Bentis, kompleks perindustrian ini dibina pada tahun 1859 untuk memproses, membungkus dan menghantar daging.

Ia termasuk bangunan dan peralatan syarikat Extract Liebig yang mengeksport ekstrak daging lembu ke pasaran Eropah dari tahun 1865 dan Anglo Meat Packing Plant yang mengeksport daging sejuk beku dari tahun 1924.

Bangunan kilang, kediaman serta institusi sosial di kawasan ini memberi gambaran pengeluaran daging pada skala global.

5. Tapak Tusi

Terletak di kawasan pergunungan di barat daya China, kawasan ini merangkumi tinggalan beberapa puak yang ketuanya dilantik kerajaan pusat sebagai ‘Tusi’ iaitu raja dari abad ke-13 hingga awal abad ke 20.

Sistem Tusi timbul daripada sistem dinasti etnik minoriti sejak abad ke-3.

Ia bertujuan menyatukan pentadbiran negara, selain membenarkan etnik minoriti mengekalkan adat resam dan cara hidup masing-masing.

Tempat menarik di Tapak Tusi ialah Laosicheng, Tangya dan Kubu Hailongtun yang dibina ketika Dinasti Yuan dan Ming.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 12:13 PM