BERFUNGSI menyebarkan pengetahuan mengenai aktiviti perlombongan arang batu.
BERFUNGSI menyebarkan pengetahuan mengenai aktiviti perlombongan arang batu.
Oleh Aniza Zainudin


TERLETAK di atas bukit Tanjung Kubong, serombong yang memiliki ketinggian 32 meter ini berdiri megah menjadi lambang sejarah unik tersembunyi di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menara Chimney adalah tinggalan sejarah yang membuktikan berlakunya aktiviti perlombongan arang batu aktif di pulau berkenaan.

Dipercayai dibina awal 1900, cerobong berbentuk segi empat ini memiliki gaya seni bina Inggeris apabila menggunakan batu bata berwarna merah yang cukup menarik.

Dianggarkan lebih 23,000 batu bata digunakan untuk menyempurnakan bahagian permukaan dinding monumen berkenaan.

Utuh seiring dengan usianya, serombong ini juga dibina tanpa menggunakan cerucuk besi seperti kaedah pembinaan tapak hari ini.

Sebaliknya, tapak struktur ini didirikan di atas tanah kaolin dengan kedalaman kira-kira satu meter.

Selain itu, ciri struktur monumen ini turut mempunyai lubang di bahagian atas dan dua pintu berbentuk melengkung yang menghadap ke arah barat dan selatan.

Dua gerbang ini dipercayai berfungsi sebagai pemecah angin bagi melindungi bahagian tapak serombong daripada tiupan angin kuat yang mungkin menjejaskan kestabilannya.

Bagi mengelakkan risiko rekahan terhadap struktur ini, rel besi turut digunakan untuk mengukuhkan binaan serta memberi tekanan pada bahagian tapak Chimney.

Di puncak monumen pula mempunyai kepingan besi untuk memberi kekuatan di bahagian atas menara berkenaan.

LAMBANG sejarah perlombongan arang batu di Labuan.
LAMBANG sejarah perlombongan arang batu di Labuan.

Istimewanya, fungsi sebenar pembinaan serombong ini belum dikenal pasti.

Malah kerja ekskavasi dan penyelidikan dilaksanakan menunjukkan Menara Chimney ini tidak pernah digunakan bagi aktiviti perlombongan arang batu.

Keunikan Menara Chimney ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Anugerah Gangsa bagi Warisan Seni Bina oleh The Green Organisation pada 24 Jun 2014, di Swindon, London.

Kemenangan ini juga memberi kelebihan kepada Perbadanan Labuan apabila dilantik menjadi Green World Ambassador hingga 2014.

Selain itu, Muzium Chimney turut didirikan di lokasi berdekatan. Beroperasi sejak 26 Oktober 2002, penubuhan muzium ini juga bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai aktiviti perlombongan arang batu yang aktif sekitar 1847 hingga 1911.

Menyajikan 612 koleksi artifak yang ditemukan di tapak Chimney seperti batu-bata asal Chimney, pelbagai peralatan perlombongan arang batu, barangan tinggalan pelombong dan penemuan arkeologi di kawasan Tanjung Kubong.

Lebih menarik, pengunjung berpeluang meneroka dan mengalami sendiri suasana di dalam terowong perlombongan arang batu melalui diorama.

Galeri dibahagikan kepada beberapa segmen seperti sejarah awal Tanjung Kubong, sejarah perlombongan arang batu dan keretapi Labuan, sejarah Chimney, Chimney meniti abad, kerja konservasi dan ekskavasi arkeologi Chimney.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 10:55 AM