EMPANGAN Timah Tasoh semalam yang paras bacaan normalnya 29.01 meter kini berada pada tahap kritikal. FOTO Eizairi Shamsudin
EMPANGAN Timah Tasoh semalam yang paras bacaan normalnya 29.01 meter kini berada pada tahap kritikal. FOTO Eizairi Shamsudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Tujuh empangan air merekodkan tahap kritikal dengan baki simpanan air di bawah 50 peratus dan Empangan Bukit Merah, Perak dijangka hanya mampu bertahan selama 20 hari.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya sedang memantau rapi semua empangan terbabit memandangkan keadaan cuaca panas berterusan, terutama di Utara Semenanjung.

"Paras air di Empangan Bukit Merah, Perak ialah 20.23 peratus. Enam empangan lain yang turut merekodkan bacaan kritikal adalah Empangan Timah Tasoh, Perlis dengan baki simpanan 27.60 peratus; Empangan Beris, Kedah (25.90 peratus); Empangan Padang Saga, Kedah (33.94 peratus) dan Empangan Muda, Kedah (30.45 peratus).

"Empangan Labong, Johor mencatat baki simpanan sekadar 12.43 peratus namun boleh bertahan sehingga tiga bulan, begitu juga Empangan Bukit Kwong, Kelantan yang berbaki 6.91 peratus tetapi ia hanya digunakan untuk tujuan pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran projek pengawalan hakisan pantai di Kampung Buntal, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, berdasarkan keadaan cuaca panas yang berterusan ketika ini, pihaknya akan melaksanakan pemantauan rapi di semua empangan terbabit bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 9:12 PM