IBU Honghong turut menghidap keadaan sama. Honghong mempunyai lapan jari pada setiap kaki dan sebelah tangannya selain tujuh jari pada satu tangan.
IBU Honghong turut menghidap keadaan sama. Honghong mempunyai lapan jari pada setiap kaki dan sebelah tangannya selain tujuh jari pada satu tangan.

Beijing: Seorang bayi mengejutkan ibu bapanya apabila dilahirkan dengan 31 jari tangan serta kaki sedangkan kecacatan itu tidak pernah dilihat dalam imbasan ultrabunyi sepanjang kehamilan.

Bayi berusia tiga bulan digelar Honghong itu mempunyai 15 jari tangan dan 16 jari kaki. Dia juga mempunyai dua tapak pada setiap tangan tanpa ibu jari, lapor People’s Daily Online.

Ibu bapanya kini terdesak mendapatkan rawatan perubatan untuknya selepas doktor yang ditemui di hospital di Hunan berkata, pembedahan sukar dilakukan.

Keadaan dialami Honghong dikenali sebagai polidaktili dan bayi itu mengalami kes yang lebih ekstrem daripada yang biasa dilaporkan.

Kanak-kanak dengan keadaan ini dilahirkan dengan jari tangan atau kaki yang berlebihan, dengan satu kes dalam 1,000. Namun jumlah jari dimiliki Honghong amat jarang berlaku.

Menurut laporan itu, ibu Honghong juga penghidap polidaktili dengan jari tambahan pada tangan serta kakinya.

Disebabkan bimbang penyakit itu diturunkan pada anaknya, dia kerap melakukan pemeriksaan hospital sepanjang kehamilannya.

Malah, dia turut menjalani ultrabunyi empat dimensi di Hospital Bersalin Daerah Futian, Shenzhen dan diberitahu anaknya tidak cacat.

Namun, sebaik dilahirkan, pasangan itu terkejut melihat keadaan Honghong lebih teruk daripada ibunya. Kedua-dua kakinya masing-masing mempunyai lapan jari manakala sebelah tangannya juga mempunyai lapan jari dan sebelah lagi, tujuh.

Honghong terlalu kecil untuk menjalani pembedahan kerana perlu dibius, namun ia perlu dilakukan antara usianya enam bulan hingga setahun sebelum tulangnya mengeras. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 9:56 AM