ALESSANDRO (kiri) dan keluarganya menunjukkan jari tangan mereka yang unik. - Agensi
ALESSANDRO (kiri) dan keluarganya menunjukkan jari tangan mereka yang unik. - Agensi
SETIAP anggota keluarga itu memiliki satu jari tambahan pada  tangan serta kaki mereka. - Agensi
SETIAP anggota keluarga itu memiliki satu jari tambahan pada tangan serta kaki mereka. - Agensi
Agensi

Brasilia: Sebuah keluarga seramai 14 orang yang semuanya dilahirkan masing-masing dengan enam jari tangan dan kaki, menerima kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka - seorang bayi lelaki dengan kelainan genetik yang sama.

Keluarga De Silva dari Brasilia menganggap anggota tambahan dimiliki setiap seorang daripada mereka itu sebagai kelebihan malah mengakui kelainan itu menjadikan mereka lebih menonjol.

Seorang daripada mereka, Alessandro yang baru menimang cahaya mata gembira bayi lelakinya Vinicius, turut mewarisi genetik keluarganya.

Alessandro berkata: “Tanda itu tidak dimiliki mana-mana keluarga lain.”

Bayinya hanya mempunyai peluang 50 peratus untuk mewarisi genetik berkenaan memandangkan dia dan anak lelaki sulungnya, Guilherme mempunyai enam jari manakala isterinya, Katia, normal.

“Kami mendapat tahu jantina Vinicius ketika kandungan mencapai usia 13 minggu dan sejak itu berharap dia turut mewarisi genetik bapanya,” kata Katia.

Alessandro berkata, sejak bayinya dilahirkan, mereka melihat jarinya berfungsi dengan sempurna dan sudah pandai cuba mengambil sesuatu.

“Semua jarinya berfungsi dengan normal,” katanya.

Sindrom genetik yang menyebabkan seseorang dilahirkan dengan jari kaki dan tangan tambahan itu digelar sebagai polidaktili yang cuma terjadi dalam satu daripada 1,000 kelahiran.

Saintis Genetik, Dr Laura Lettice menjelaskan: “Ada pelbagai mutasi yang mengakibatkan keadaan itu, tetapi dalam kes ini, wujud ketidakpastian genetik yang biasanya menghasilkan corak anggota tambahan.

“Jika ibu atau bapa mempunyai jari tambahan, anaknya juga ada separuh peluang untuk mendapat genetik sama.”

Keluarga Del Silva yang dikenali di bandar itu sebagai ‘Keluarga Enam’ percaya kelainan mereka aset dan bukan penghalang untuk mereka meneruskan cita-cita yang diimpikan termasuk menjadi pemuzik atau penjaga gol.

Alessandro berkata, datuknya Assis mengubah kecacatan keluarganya menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Dia amat memandang positif kelainan kami malah menulis buku mengenai pengalamannya, yang memaparkan gambar tangannya sebagai kulit buku.

“Dia menjadikan kecacatan kami sebagai jenama keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2017 @ 6:14 AM