Kuala Lumpur: Selepas enam tahun, buat pertama kalinya pencabar kejuaraan, Ahmad Fazrul Sham (gambar) berada di tangga teratas senarai kelas perdana CP130 menjelang perlumbaan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2015 di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor, hujung minggu ini.

Pada usia 30 tahun, Fazrul kini muncul pendahulu keseluruhan hasil kemenangan hatrik di Kuala Terengganu, Melaka dan Kangar (Pusingan 4, 5 dan 6).

Pembatalan perlumbaan di Teluk Intan akibat faktor cuaca juga meletakkan Fazrul selesa di tangga teratas dengan 95 mata.

“Sebenarnya peralihan karier saya agak pantas. Saya menamatkan saingan Wira di kedudukan kedua pada 2004 dan setahun kemudian, saya beralih ke Novis dan pada tahun itu juga menyertai kelas Expert selepas mengesahkan kedudukan di tangga kedua dalam kategori berkenaan sebelum penghujung musim.

“Pada 2006, saya beraksi sepenuhnya dalam kelas Expert dan menamatkan kedudukan di tangga kedua di belakang Suhadi Ali Rahmat. Pada 2008, saya memperoleh keputusan sama namun kali ini di belakang abang saya, Ahmad Fazli Sham,” imbas Fazrul.

Menjelang perlumbaan Pusingan 8 di MAEPS minggu ini, pelumba yang sedang memberikan cabaran kepada Fazrul dalam senarai keseluruhan tidak lain dan tidak bukan abangnya, Ahmad Fazli.

Juara dua kali Cub Prix itu yang kini dipisahkan dengan 25 mata adalah bekas rakan sepasukan dan bersaing lebih dari satu dekad bersama.

“Sudah banyak kali saya menamatkan saingan di tempat kedua. Jadi saya begitu teringin untuk meletakkan nama dalam kalangan juara Cub Prix. Pada masa sama tidak dinafikan Fazli juga memburu gelaran ketiga peribadinya. Tidak kira apa berlaku, keutamaan adalah untuk memastikan piala kemenangan akan terus berada dalam keluarga kami,” jelas Fazrul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:37 AM