TAMPOI FC meraikan kemenangan mereka. FOTO Nazri Abu Bakar
TAMPOI FC meraikan kemenangan mereka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Tampoi FC muncul juara Liga Divisyen 1 Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) selepas menewaskan MBMB Warriors FC 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hang Tuah malam tadi.

Aksi 90 minit perlawanan terikat 1-1, menerusi jaringan Izzat Sino buat Tampoi FC dan gol penyamaan MBMB Warriors FC dihadiahkan bekas pemain Melaka United (MU) Saiful Mustafa untuk mengheret penentuan ke masa tambahan.

Bagaimanapun gol kemenangan pasukan Tampoi dijaringkan Shamerul Aziz pada babak pertama masa tambahan bagi membolehkan skuad terbabit meraih RM12,000 selaku juara.

Naib juara pula meraih RM7,000 sementara tempat ketiga menjadi milik Jebat FC dan Hulubalang FC dengan masing-masih meraih RM3,000.

Hadiah disampaikan Presiden MUSA, Datuk Nur Azmi Ahmad yang turut dihadiri Naib Presiden MUSA, Noor Azman Rahman dan Datuk Khairi Anuar Ahmad serta pegawai kejohanan Liga Melaka 2022.

Khairi yang juga pengerusi pertandingan berkata, Liga Melaka membabitkan tiga divisyen memberi impak pembentukan pemain baharu kerana terdapat lima pasukan di wakili pemain berusia 18 tahun.

Menurutnya, ia kesempatan terbaik buat pemain muda untuk bersaing dalam perlawanan kompetitif yang meletakkan pengalaman mereka sebagai asas kemahiran untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana akhirnya liga yang mengambil masa enam bulan itu berjaya dianjurkan dengan jayanya.

"Apapun, kami kehilangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pertandingan Liga Melaka 2022, Hameedee Asri meninggal dunia selepas terkena serangan jantung ketika bertugas dalam perlawanan akhir Divisyen Tiga baru-baru ini," katanya.

Khairi berkata, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam golongan orang-orang yang terpilih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2022 @ 10:28 PM